PKPD Di Vista Minintod, Penduduk Bergaji Harian Bimbang Keadaan Mereka

Penduduk di Vista Minintod, Penampang yang dikenakan PKPD merayu pihak berkaitan segera menyalurkan bantuan makanan.

PENAMPANG: Penduduk di Vista Minintod, di sini, terutama yang bergaji harian bimbang dengan keadaan mereka susulan kawasan perumahan itu dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) bermula hari ini.

Pengerusi Persatuan Penduduk Vista Minintod Zainuddin Mohammad Ibrahim berkata, kebanyakan penghuni di 1,165 unit pangsapuri di situ adalah pekerja bergaji harian seperti pemandu Grab, pemain muzik, pekerja pasar raya atau salon.

Katanya, pelaksanaan PKPD bermakna golongan bergaji harian itu akan hilang pendapatan selama dua minggu.

“Di samping itu, antara yang tinggal di kawasan pangsapuri ini ialah ibu atau bapa tunggal, orang kurang upaya dan juga warga emas.

”Sehubungan itu, kami sangat berharap agar pihak berkaitan dapat menyalurkan bantuan makanan kepada penduduk di sini yang ‘terkurung’ berikutan PKPD. Bantuan berkenaan pastinya akan mengurangkan beban mereka,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu ADUN Kepayan Jannie Lasimbang berkata, pihaknya akan memperuntukkan RM5,000 untuk menambah barangan dalam program Kepayan Food Bank.

Katanya, mereka juga akan bekerjasama dengan Kelab Sentuhan Kehidupan bagi merayu kepada organisasi atau orang ramai untuk menderma sama ada dalam bentuk kewangan atau barangan makanan.

”Pejabat ADUN Kepayan merancang untuk menyerahkan 1,000 pek makanan kepada penduduk menerusi PKOB (Pusat Kawalan Operasi Bencana) Penampang secepat mungkin.

”Pada minggu lalu, kami telah bekerjasama dengan DBKK (Dewan Bandaraya Kota Kinabalu) untuk membantu penduduk di Rumah Murah Kepayan yang diletakkan di bawah PKPD.

“Saya juga menyeru pihak berkuasa supaya menjalankan ujian swab Covid-19 terhadap penduduk di Vista Minintod secepat mungkin bagi memutuskan rantaian jangkitan wabak berkenaan di kawasan perumahan itu,” katanya.

Dalam pada itu Penolong Pegawai Daerah Penampang, Stanley Sikolis berkata, bantuan makanan daripada kerajaan kini sedang diatur dan beliau juga mengalu-alukan bantuan lain daripada pejabat ADUN Kapayan, pertubuhan bukan kerajaan atau orang ramai.

”Bantuan-bantuan ini harus disalurkan menerusi PKOB Penampang agar pengagihan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *