JKR Yang Patut Selia Jalan Raya, Bung ‘Hentam’ Kementerian Kewangan Sabah

Datuk Seri Bung Moktar Radin.

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Bung Moktar Radin menyelar tindakan Kementerian Kewangan Sabah yang menarik balik semua kuasa Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menyelia jalan raya di negeri itu.

Katanya, apa yang lebih ‘pelik’, kuasa itu dipindahkan kepada Kementerian Kewangan yang langsung tidak memiliki jurutera berbanding JKR.

“Saya selaku menteri di kementerian ini (kerja raya) kurang berpuas hati dengan apa yang dilaksanakan Kementerian Kewangan berhubung penganugerahan kerja-kerja naik taraf jalan MCDC (Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah).

“Kerajaan telah membayar Pembinaan Kekal Mewah (PKM) RM2.6 bilion mulai 2002 hingga 2020, namun rekod menunjukkan dalam data MARRIS (Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia) keadaan jalan MCDC telah merosot dengan teruk sejak syarikat PKM dipilih sebagai syarikat konsesi penyelenggaraan untuk jalan MCDC,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Bung berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2016 telah meminta Kementerian Kewangan Sabah menyerahkan pengawasan teknikal kejuruteraan kepada JKR kerana ia jabatan bagi menangani semua perkara teknikal di Sabah.

Sehubungan itu, katanya, JKR Sabah telah dilantik sebagai pengarah projek untuk mengawasi kerja-kerja penyelenggaraan jalan MCDC dari 2017 hingga 2020 dan telah membuat peningkatan yang besar untuk menambahkan panjang penyelenggaraan jalan MCDC menjadi 8,165km dan bukannya 6,000km yang diminta oleh PKM pada 24 Mei lalu.

“Tetapi malangnya lagi, Kementerian Kewangan Sabah juga mengeluarkan satu surat pada 28 atau 29 hari bulan, iaitu menarik semua kuasa JKR dan memindahkan kepada kuasa di menteri kewangan untuk menyelia jalan raya ini.

“Saya pun tidak tahu, ada di mana Kementerian Kewangan dan kerajaan tempatan mempunyai jurutera, yang pakar dan arif dalam hal jalan raya…tiba-tiba mereka telah mengeluarkan satu surat,” katanya.

Bung berkata, beliau mempersoalkan perkara itu bukan kerana tidak dapat mengendalikan penyeliaan jalan raya di Sabah sebaliknya kerana kemarahan rakyat terhadap kualiti jalan raya di negeri itu.

Katanya, perkara itu tidak seharusnya berlaku selain perlu dibincang dengan lebih terperinci.

“Saya dianggap macam ‘rubber stamp’, saya bukan marah kerana tidak dapat mengendalikan perkara ini tetapi saya marah dan rakyat pun marah, perkara ini harus dihentikan.

“Kita perlu menumpukan dan mempertingkatkan kualiti jalan raya kita termasuk menambah jalan raya tidak berturap atau 60% jalan raya MCDC yang tidak berturap, diturap.

“Kalau kita dapat mungkin 10% setiap tahun ataupun 5% (penyelenggaraan jalan), bermakna 10 tahun kita dapat 50%, tetapi sekarang ini kita dapat kosong,” katanya.

Kementerian Kewangan Sabah kini diterajui Ketua Menteri Hajiji Noor sebagai menteri kewangan 1 manakala Masidi Manjun sebagai menteri kewangan 2.

Sementara itu, Bung turut menyifatkan tindakan Kementerian Kewangan Sabah itu boleh menimbulkan kemarahan rakyat yang mendorong kepada pertukaran kerajaan pada masa akan datang.

“Jadi saya ingin menyuarakan ini supaya Kementerian Kewangan Sabah dapat melihat perkara ini untuk kebaikan rakyat, kita tidak boleh menidakkan suara rakyat.

“Rakyat sering kali menukar kerajaan sebab mereka sudah bosan, sebab tindakan daripada kerajaan selalu salah dan tidak ada fokus kepada masalah yang dihadapi rakyat,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *