PUTATAN: Semua empat mangsa yang hilang ketika mandi di Pantai Gorongon, berhampiran Kampung Contoh, di sini, berjaya ditemukan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Mangsa pertama Norain Amit, 13, ditemukan pada 8.20 malam sebelum mangsa kedua, Rafidah Amit, 14, berjaya dijumpai kira-kira 40 minit selepas itu.
Manakala dua lagi mangsa Dalang, 17, dan Korais Amit, 8, ditemukan kira-kira jam 9.30 malam di lokasi tidak jauh dari tempat mereka dihanyutkan arus.
Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, semua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang hadir di lokasi kejadian.
Katanya, semua mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk tindakan selanjutnya.
“Berikutan penemuan semua mangsa kejadian ini, operasi mencari dan menyelamat dihentikan serta merta.
“Bagaimanapun, siasatan akan dijalankan bagi mencari punca sebenar kejadian untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Mohd Haris berkata, setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
Dalam kejadian jam 5 petang tadi, lapan individu berusia lingkungan 8 hingga 17 tahun dikatakan pergi ke pantai berkenaan untuk bermandi-manda.
Bagaimanapun, ketika mahu pulang, mereka dikatakan cuba berenang ke tepi pantai namun dipercayai dihanyutkan ombak deras ke kawasan laut dalam.
Akibat kejadian itu, empat daripada mangsa berjaya menyelamatkan diri manakala empat lagi hilang.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang hilang dijalankan Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah. – HMetro
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost