Kaamatan Terus Jadi Platform Pupuk Perpaduan & Kerjasama Rakyat Di Sabah – Hajiji

PENAMPANG, 30 Mei : Walaupun terganggu akibat COVID-19, Pesta Kaamatan tahun ini terus menjadi platform penting bagi memupuk perpaduan dan kerjasama antara rakyat di Sabah kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Beliau berkata, semangat perpaduan yang kuat dan kerjasama rapat akan terus memacu Sabah ke arah pembangunan lebih tinggi, yang selaras dengan aspirasi kerajaan negeri di bawah Halatuju Sabah Maju Jaya.

“Rakyat perlu menjadikan Kaamatan, yang membawa mesej kedamaian dan keharmonian, sebagai teras perpaduan Sabah, yang telah menjadi satu model perpaduan masyarakat berbilang kaum di Malaysia sesuai dengan tema yang dipilih untuk sambutan tahun ini, ‘Kaamatan Tanpa Sempadan Demi Pendamaian dan Keamanan.

“Suasana Pesta ini masih boleh dirasakan walaupun dalam skala yang kecil dan saya dimaklumkan penstriman program Kaamatan di sosial media telah menerima sambutan yang menggalakkan,” katanya bercakap di pelancaran sambutan Kaamatan peringkat negeri di dewan Hongkod Koisaan di sini hari ini.

Hajiji berkata, pandemik COVID-19 juga telah mengubah cara menyambut Kaamatan dengan program seperti ‘Sugandoi’ iaitu satu pertandingan nyayian dan ‘Unduk Ngadau’, satu pertandingan ratu cantik dianjurkan secara dalam talian tahun ini.

“Pergerakan orang ramai antara negeri dan daerah juga dihadkan dalam usaha mengekang penularan COVID-19, tetapi apa yang penting ialah kita perlu sentiasa mengikuti dan patuh kepada prosedur operasi standard (SOP), supaya kita boleh mengekang penularan pandemik ini,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *