Ramai Mangsa Banjir Di Tenom Tercicir Bantuan, Dakwa Ahli Parlimen

Ahli Parlimen Tenom, Noorita Sual berharap mangsa banjir yang tercicir itu akan mendapat perhatian dan dibantu kerajaan negeri secepat mungkin. – Foto Facebook

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Tenom, Noorita Sual mendakwa jumlah mangsa banjir di daerah itu lebih banyak daripada angka yang dilaporkan.

Katanya, jumlah mangsa yang disenaraikan untuk pengagihan bantuan kerajaan seramai 4,261 mangsa daripada 1,555 keluarga, tetapi ramai mangsa tidak sempat dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) akibat terkandas kerana jalan dinaiki air.

“Saya amat berterima kasih kepada Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor atas sumbangan beliau kepada mangsa banjir seperti yang diumumkan pada 24 Mei,” tulisnya di Facebook hari ini.

“Bagaimanapun, saya ingin mewakili dan menyuarakan rintihan mangsa yang tidak tersenarai. Ada juga mangsa yang meninggalkan kediaman untuk ke kawasan lebih tinggi atau rumah saudara yang lebih selamat dan disebabkan ini, mereka tidak menerima sebarang bantuan daripada kerajaan.”

Noorita berharap mangsa banjir yang tercicir itu akan mendapat perhatian dan dibantu kerajaan negeri secepat mungkin.

Jumlah mangsa banjir yang masih ditempatkan di PPS daerah itu berkurangan kepada 95 orang setakat 8 malam tadi.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Sabah berkata, tiga PPS masih dibuka di Tenom dan empat di Beaufort yang menempatkan 604 mangsa. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *