Kanak-Kanak Tanpa Kerakyatan Di Semporna Dapat ‘Sekolah’ Baharu

‘Sekolah air’ yang boleh menerima 54 kanak-kanak tanpa kerakyatan berumur antara tujuh ke 17 tahun. (Borneo Komrad)

SEMPORNA: Kanak-kanak tanpa kerakyatan di Semporna bakal mendapat sebuah “bangunan sekolah” baharu atas ihsan seorang dermawan yang memberikan rumah miliknya dan daya usaha sebuah NGO yang bekerja keras mengumpulkan sumbangan sebanyak RM20,000 dalam masa hanya tiga hari.

NGO Sabah Borneo Komrad berjaya mengumpulkan dana diperlukan untuk menukar sebuah rumah air Bajau yang didermakan menjadi sebuah sekolah untuk kanak-kanak tanpa kerakyatan dan dokumen yang tidak diterima masuk ke sekolah biasa.

“Dana itu akan digunakan untuk mengubah rumah tersebut menjadi tempat yang lebih sesuai untuk belajar,” kata Shakila Adiela Wan Azmi, pengurus Sekolah Alternatif yang merupakan projek pendidikan percuma NGO berkenaan untuk kanak-kanak kurang bernasib baik.

“Ia hak asasi mereka. Hak itu terabai sejak sekian lama, jadi kami mahu berikan pendidikan yang sepatutnya mereka terima,” katanya.

Projek itu merupakan sebahagian daripada usaha terbaru Borneo Komrad untuk menyediakan pendidikan percuma kepada kanak-kanak tanpa kerakyatan di Sabah. Mereka telah membina sekolah di Semporna, Tawau dan Kota Kinabalu.

“Sekolah” yang sebelum itu merupakan rumah salah seorang pelajarnya, didermakan oleh bapa kanak-kanak tersebut selepas keluarga berkenaan mendapat tempat tinggal lain.

Projek Borneo Komrad berikutnya ialah membaiki jambatan uzur di sekitar sekolah.

Ia boleh memuatkan 54 pelajar berusia tujuh hingga 17 tahun yang kebanyakannya datang dari kemudahan mereka yang sedia ada di Semporna.

Sekolah itu bakal dijadikan sebuah akademi yang memfokus kepada kemahiran vokasional, dengan menawarkan kemahiran teknikal seperti memasak dan menjahit bagi membantu mereka memperoleh mobiliti sosial lebih baik.

“Dengan pendidikan kanak-kanak ini boleh membina kehidupan lebih baik untuk diri mereka sendiri dan menggunakannya untuk memperkaya komuniti masing-masing,” kata Shakila Adiela.

Beliau berkata, projek kumpulan itu berikutnya ialah menaik taraf jambatan di sekeliling sekolah yang uzur dan tidak stabil dan berpotensi mengancam keselamatan.

“Jambatan untuk ke sekolah tidak selamat. Ia mungkin lebih mahal, jadi kami perlu berbincang jumlah dana yang diperlukan dan dari mana kami boleh mendapatkannya.”

Sekolah baharu itu dijangka siap dalam tempoh dua minggu lagi. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *