Langgar SOP PKPB, 36 Dikompaun Kerana Berhibur Di Penampang

Antara individu yang dikenakan kompaun dalam operasi bersepadu dijalankan IPD Penampang malam tadi. – Foto IPD Penampang

PENAMPANG: Seramai 36 individu termasuk seorang penjaga premis dikompaun selepas didapati leka berhibur sehingga melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), di sebuah premis hiburan, di sini, malam tadi.

Operasi bersepadu bermula jam 1 pagi yang diketuai Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim bersama pegawai dan anggota bagi mengesan sebarang aktiviti perlanggaran SOP dalam usaha memutuskan rantaian penularan Covid-19 di daerah ini.

Mohd Haris berkata, hasil pemantauan di pusat hiburan berkenaan mendapati, seramai 22 lelaki dan 14 wanita berkumpul tanpa menjaga penjarakan fizikal.

Katanya, kebanyakan individu yang diperiksa turut didapati tidak mengimbas kod QR MySejahtera di premis berkenaan.

“Ia jelas membuktikan pelanggaran SOP mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) 2021, iaitu Peraturan 3 Dalam Jadual Aktiviti Terlarang.

“Semua individu yang berusia 21 hingga 44 tahun terbabit masing-masing dikompaun sebanyak RM5,000 setiap seorang manakala pemilik premis pula dikenakan kompaun sebanyak RM25,000,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Mohd Haris berkata, operasi kali ini sekali gus mencatat jumlah kompaun tertinggi semenjak pelaksanaan PKPB yang dikuatkuasakan bermula pada 24 Mei lalu.

Katanya, pihak polis tidak akan berkompromi kepada mana-mana pemilik premis hiburan atau individu yang ingkar dengan SOP Covid-19 yang ditetapkan.

Antara individu yang dikenakan kompaun dalam operasi bersepadu dijalankan IPD Penampang malam tadi. – Foto IPD Penampang

“Peningkatan semasa kes positif di daerah ini adalah ditahap yang membimbangkan, oleh yang demikian, pihak polis menggesa orang ramai supaya sentiasa patuh dengan SOP yang ditetapkan supaya rantaian wabak Covid-19 dapat diputuskan segera,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *