2 Lagi Kluster Baharu Aktiviti Ziarah, Rentas Negeri Sambut Aidilfitri Di Sabah

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Sabah semalam mencatatkan dua lagi kluster baharu yang masing-masing membabitkan aktiviti kunjung-mengunjungi dan merentas negeri menyambut Aidilfitri.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata dua kluster terbabit iaitu Kluster Sungai Pukul di daerah Tawau manakala Kluster Kauran-Durok pula membabitkan daerah Keningau.

“Kluster Sungai Pukul di Tawau membabitkan jangkitan semasa aktiviti kunjung-mengunjung sempena sambutan Aidilfitri di mana kes indeks adalah suri rumah berusia 63 tahun disahkan positif COVID-19 di Hospital Tawau pada 22 Mei lalu selepas mengalami gejala sejak 18 Mei lalu.

“Saringan kontak rapat mendapati tujuh kes positif dalam kalangan keluarga kes indeks pada 25 Mei lalu sebelum 10 lagi kes dikesan menjadikan jumlah kumulatif setakat hari ini sebanyak 18 kes.

“Siasatan lanjut untuk pengesanan kontak rapat serta punca jangkitan sedang giat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Mengulas lanjut mengenai Kluster Kauran-Durok di Keningau, Masidi berkata, kes indeks adalah wanita berusia 30 tahun yang pulang bercuti ke Sabah untuk menyambut Aidilfitri pada 12 hingga 22 Mei.

“Susulan itu, saringan bersasar terhadap 31 kontak rapat mendapati 12 daripadanya positif COVID-19 iaitu empat kes dari Kampung Kauran dan lapan kes dari Kampung Durok Baru pada 25 Mei lalu.

“Berdasarkan maklumat awal, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan semasa sambutan Aidilfitri di antara 19 Mei hingga 21 Mei lalu. Pengesanan kontak rapat juga sedang dijalankan,” katanya.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata, jumlah kes harian COVID-19 semalam kekal mencatatkan sebanyak tiga angka.

“Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu COVID-19 semalam adalah sebanyak 229 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 61,057 kes dan satu kes kematian direkodkan membabitkan daerah Kota Belud.

Datuk Seri Masidi Manjun.

“Jumlah pesakit COVID-19 yang sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital seramai 81 menjadikan jumlah kumulatif 58,968 orang.

“Seramai 1,276 orang pesakit sedang menerima rawatan iaitu 405 orang di hospital, 868 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) seramai tiga orang,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *