Jemaah Wajib Bawa Sejadah Dan Telekung Sendiri – Masidi

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Semua jemaah diwajibkan membawa sejadah dan telekung sendiri semasa menunaikan solat di masjid, surau atau bilik-bilik sembahyang yang disediakan oleh pemilik-pemilik premis perniagaan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) mewajibkan perkara itu dan pihak pengurusan masjid, surau dan pemilik-pemilik premis perniagaan tidak akan menyediakan sejadah dan telekung.

Katanya, penganut agama Kristian, Buddha dan lain-lain juga diwajibkan membawa peralatan sendiri semasa beribadat di rumah ibadat masing-masing.

“Notis mengenai arahan mewajibkan membawa peralatan sendiri hendaklah dipamerkan di semua premis ibadat.

“Larangan berkongsi peralatan sembahyang di premis-premis ibadat adalah bagi membendung penularan COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, kebenaran permainan atau sukan golf pada masa ini hanyalah bagi tujuan rekreasi sahaja. 

Menurutnya, kebenaran berkenaan juga tertakluk hanya seorang pemain sahaja dibenarkan menggunakan sebuah ‘buggy’.

“Kerajaan negeri turut memutuskan untuk tidak membenarkan penganjuran sebarang pertandingan golf dengan serta merta sehingga 7 Jun 2021.

“Dengan keputusan ini, maka kebenaran penganjuran pertandingan golf yang dikeluarkan atau diluluskan oleh Kementerian Belia dan Sukan Sabah sebelum ini adalah dibatalkan serta merta,” jelasnya. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *