Banjir Di Tenom Kali Ini Terburuk Sejak 2014 – Penduduk

Keadaan beberapa rumah yang dinaiki air akibat banjir di Tenom sejak beberapa hari lalu. – Foto Facebook

KOTA KINABALU: Penduduk menyifatkan banjir yang melanda Tenom, Sabah sejak beberapa hari lalu yang terburuk sejak tujuh tahun lalu.

Banjir sejak seminggu lalu itu turut mengakibatkan puluhan kampung terjejas, dengan ratusan rumah dinaiki air dan lebih 5,000 orang terpaksa dipindahkan.

Setakat 12 tengah hari tadi, seramai 4,597 mangsa masih berada di pusat penempatan sementara (PPS).

Parida Jikat, 42, dari Kampung Kallang Kanar, berkata banjir kali ini hampir sama dengan banjir yang melanda Tenom pada 2014.

Katanya, beberapa rumah ahli keluarganya di kampung berkenaan serta bersebelahan dinaiki air sehingga paras dada.

“Rumah ahli keluarga kami berada dalam satu kawasan, ada beberapa rumah dan yang paling terjejas teruk ialah rumah abang saya sehingga dia tidak mampu menyelamatkan sejumlah barang dalam rumah.

“Dua rumah adik saya yang tinggal di kampung sebelah juga dinaiki air sehingga paras dada, tetapi saya bersyukur, semua ahli keluarga selamat,” katanya.

Parida berkata, selepas banjir tujuh tahun lalu itu, ada bencana sama berlaku beberapa tahun lalu, tetapi ia tidak seteruk kali ini.

Walaupun kini air semakin surut, katanya, beliau dan ahli keluarga lain tetap berjaga-jaga kerana banjir mungkin kembali jika cuaca buruk berterusan.

Sumber Gambar Facebook

“Selepas kejadian 2014, kami sebenarnya mula mengambil langkah berjaga-jaga, malah bapa saya membina satu sampan khas untuk menghadapi kemungkinan banjir.

“Tahun ini, sampan yang dibina bapa saya akhirnya digunakan. Kami menggunakannya untuk pergi ke rumah adik saya di kampung sebelah. Biasanya kami naik kereta ke sana (kampung sebelah), tetapi sekarang ini naik sampan pun boleh.”

Jubidol Lauseh, 62, dari Kampung Bunut, berkata selain rumah dinaiki air, banjir kali ini turut memusnahkan tanaman penduduk.

Katanya, hampir 90% kawasan di Kampung Bunut dinaiki air sehingga menyebabkan sejumlah penduduk terpaksa dipindahkan ke PPS.

“Rumah saya juga dinaiki air, tetapi tidaklah dalam sangat dan barang-barang berharga kami telah pindahkan ke tingkat atas.

“Bagaimanapun, saya kesian dan sedih apabila melihat sejumlah rumah di Kampung Bunut ini ditenggelami air, bukan saja harta benda mereka, tetapi juga hasil pertanian mereka turut musnah.” – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *