COVID-19: Kes Kembali Tinggi, Tiga Kematian Di Sabah

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Rekod kes baharu COVID-19 di Sabah kembali melonjak naik dengan jumlah 266 kes baharu pada Sabtu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, peningkatan jumlah kes COVID-19 di Sabah hari ini adalah hasil dari saringan kontak rapat sebanyak 118 kes dan 93 kes hasil saringan kluster.

Menurutnya, saringan bergejala sebanyak 30 kes dan lain-lain 25 kes antara penyumbang kepada peningkatan kes baharu.

“Daerah Tawau mencatatkan kes tertinggi sebanyak 76 kes yang disumbang oleh 55 kes kontak rapat, bergejala 11 kes, kluster enam kes dan lain-lain empat kes.

“Kalabakan merekodkan sebanyak 25 kes sementara Kota Belud sebanyak 29 kes,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, jumlah kumulatif kes COVID-19 di Sabah adalah sebanyak 60,828 kes.

Katanya, tiga kes kematian direkodkan hari ini masing-masing satu kes di daerah Lahad Datu, Kota Kinabalu dan Penampang.

“Satu kluster baharu turut direkodkan iaitu Kluster Kalabakan Selatan membabitkan kluster tempat kerja yang melibatkan pekerja sebuah syarikat perladangan.

“Kes indeks adalah lelaki berumur 55 tahun yang juga pengurus ladang terbabit disahkan positif COVID-19 hasil saringan bergejala di klinik swasta pada 20 Mei lepas.

“Selepas itu sebanyak 21 lagi kes positif dikesan dalam kalangan kontak rapat, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 22 kes setakat hari ini.

“Berdasarkan maklumat awal, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika menziarahi rumah pekerja di kuarters ladang berkenaan pada Hari Raya Aidilfitri,” jelasnya.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *