Pengurus Ladang Beraya Cetus Kluster Baharu Di Sabah

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Seorang pengurus ladang yang melakukan aktiviti ziarah sempena sambutan Aidilfitri di rumah pekerjanya mencetuskan kluster baharu COVID-19 di Sabah yang dilaporkan di daerah Kalabakan, hari ini.

Kes indeks yang juga seorang pengurus ladang di Kalabakan berusia 55 tahun itu dikesan positif COVID-19 melalui saringan bergejala pada 20 Mei lalu.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, dalam kenyataan medianya malam ini, berkata kes itu mencetuskan Kluster Kalabakan Selatan apabila 21 lagi dikesan positif menerusi saringan kontak rapat.

“Berdasarkan maklumat awal, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika menziarahi rumah pekerja di kuarters ladang berkenaan sempena sambutan Aidilfitri,” katanya.

Sementara itu, Sabah kembali mencatat kes baharu COVID-19 tinggi hari ini apabila merekodkan 266 kes dengan tiga kematian, masing-masing satu di Lahad Datu, Kota Kinabalu dan Penampang, manakala 89 pesakit dilaporkan sembuh.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata peningkatan kes berbanding 184 yang direkodkan semalam berpunca daripada saringan kontak rapat dan kluster.

“Peningkatan jumlah kes COVID-19 di Sabah hari ini adalah hasil saringan kontak rapat (118 kes), saringan kluster (93), saringan bergejala (30) dan lain-lain saringan sebanyak 25 kes.

“Tawau mencatat kes tertinggi berbanding daerah lain membabitkan 76 kes, masing-masing 55 kes disumbang menerusi saringan kontak rapat, saringan bergejala (11), saringan kluster (enam) dan lain-lain saringan empat kes,” katanya.

Beliau berkata, Kota Belud turut mencatat peningkatan apabila merekodkan 29 kes hari ini, sekali gus mengubah statusnya daripada kuning ke zon merah diikuti Kalabakan dan Kota Kinabalu masing-masing 25 kes dan Kunak (20).

Secara keseluruhan, Masidi berkata, sebanyak 11 daerah kini berada dalam zon merah iaitu Tawau, Kota Belud, Kalabakan, Kota Kinabalu, Kunak, Papar, Lahad Datu, Penampang, Sandakan, Semporna dan Putatan.

Daerah dalam zon jingga meningkat kepada empat hari ini selepas Kuala Penyu yang sebelum ini dalam zon kuning mencatat tujuh kes baharu menyebabkan ia bertukar ke zon jingga untuk bersama dengan Tuaran, Kinabatangan dan Beaufort.

Daerah tanpa kes aktif atau zon hijau berkurang kepada enam iaitu Sipitang, Nabawan, Tambunan, Beluran, Telupid dan Tongod selepas Pitas kembali ke zon kuning bersama Tenom, Ranau, Kota Marudu, Keningau dan Kudat. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *