Warga Asing Antara 22 Penumpang Bas Ekspres Guna Surat Kebenaran Palsu

Antara peralatan yang dirampas dalam serbuan di pejabat sebuah syarikat bas ekspres di Semporna. – Gambar ihsan PDRM

SEMPORNA: Cubaan 22 penumpang termasuk sepuluh warga asing menggunakan surat kebenaran palsu untuk merentas daerah dengan menaiki bas ekspres gagal apabila dikesan polis ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di kilometer 15 Jalan Semporna-Tawau, di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, semua penumpang terdiri daripada 19 lelaki dan tiga wanita masing-masing berusia antara 13 hingga 46 tahun dikatakan dalam perjalanan dari arah Semporna menuju Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pemeriksaan ke atas borang permit Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berada dalam simpanan penumpang berkenaan didapati palsu.

Menurutnya, susulan tangkapan itu sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil kemudiannya membuat serbuan ke atas sebuah pejabat syarikat bas ekspress, di pekan Semporna kira-kira jam 11 malam.

“Dalam serbuan itu, polis merampas 13 keping salinan borang permit PKPP bagi Ibu Pejabat Daerah (IPD) Semporna yang belum diisi, tujuh salinan borang permit PKPP yang sudah bertulis, dan satu unit komputer bersama sebuah mesin pencetak.

“Turut ditahan seorang kerani wanita syarikat terbabit dan sedang giat mengesan sorang lagi kerani lelaki dikenali sebagai Alnajib Saleh, 32, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Farhan mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah tertipu dengan mana-mana individu atau pihak ketiga yang menawarkan atau menjual borang permit merentas daerah atau negeri.

Katanya, semua borang permit kebenaran itu boleh diperolehi dengan hadir sendiri di IPD atau balai polis berhampiran dan tiada sebarang bayaran dikenakan.

“Pihak polis memandang serius terhadap semua aspek termasuk kumpulan atau sendiket yang mengambil peluang menjalankan kegiatan penjualan permit rentas daerah atau negeri dan tindakan undang-undang akan diambil keatas mereka yang terlibat,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *