Satu Kes Covid-19 Varian India Dikesan Di Labuan

Gambar Hiasan

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengesan kes pertama membabitkan rakyat tempatan yang positif COVID-19 dengan varian membimbangkan (VOC) India B.1.617.2.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes berkenaan adalah kontak rapat kepada seorang individu warga India yang bersama dengannya menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur ke Wilayah Persekutuan Labuan pada 23 April lalu.

“Warga asing itu dikesan positif COVID-19 ketika tempoh kuarantin manakala rakyat tempatan ini pula mempunyai gejala pada 3 Mei lalu seterusnya menjalani ujian Kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) pada hari sama seterusnya dikesan positif sehari selepas itu selepas menjalani Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).

“Sehingga kini terdapat enam kes yang dijangkiti varian Indian B.1.671 (termasuk sublineage B.1.617.1 dan B.1.617.2),” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya mengesan 12 kes baharu jangkitan varian Afrika Selatan B.1.351 membabitkan kes di Kedah, Perlis, Selangor dan Johor.

“Ia menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 dijangkiti varian Afrika Selatan sebanyak 78 kes.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

“Antara kluster dikesan dijangkiti varian berkenaan ialah empat kes Kluster Jalan Lima; Kluster Kebun Baru (9); Kluster Teknologi Emas (tiga); Kluster Jalan Canning Estate (10) dan Kluster Kampung Bunut Sarang Burung (10).

“Kluster lain ialah Kluster Kampung Domis (tujuh); Kluster Bangkahulu (satu) dan enam kes Kluster Bayan Cenderawasih. Selain itu melalui saringan kontak rapat (20 kes), jangkitan selepas divaksinasi (satu); saringan bergejala (empat) dan lain-lain saringan (tiga),” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost