Fenomena Gerhana Bulan Penuh Boleh Disaksikan Esok

KUALA LUMPUR: Rakyat negara ini berpeluang menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh atau ‘bulan berdarah’ bermula sekitar jam 4.47 petang esok dan dijangka berakhir kira-kira jam 9.50 malam.

Fenomena itu muncul semula selepas kali terakhir kelihatan pada 2018.

Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Azlikamil Napiah, berkata fasa penuh fenomena gerhana ‘Super Flower Blood Moon’hanya boleh dilihat jika berada di Semenanjung Malaysia.

Di Sabah dan Sarawak, beliau berkata, orang ramai di sana berpeluang menyaksikan proses pembentukan fenomena gerhana itu lebih awal.

“Fenomena gerhana bulan pada esok, 26 Mei 2021 akan berlaku selepas bulan berada pada kedudukan yang paling hampir dengan bumi (perigee) dengan jarak 357,309 kilometer (km).

“Fenomena gerhana bulan penuh ini akan berlaku mulai jam 16.47 dan berakhir pada jam 21.50 waktu Malaysia.

“Bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung, fenomena tersebut hanya kelihatan ketika fasa gerhana maksimum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain boleh disaksikan secara penuh di Semenanjung Malaysia, Azlikamil berkata, ia boleh dilihat secara keseluruhan di timur Australia, New Zealand dan Kepulauan Pasifik termasuk Hawaii.

Berikutan kekangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak pandemik COVID-19, beliau mengajak orang ramai untuk penstriman langsung gerhana bulan penuh ‘Super Flower Blood Moon’ pada esok menerusi akaun media sosial Facebook dan Youtube Planetarium Negara.

Katanya, kemudahan teleskop untuk kegunaan orang ramai bagi menyaksikan fenomena itu tidak akan disediakan.

“Kemudahan teleskop tidak akan dibuka untuk orang ramai di Planetarium Negara kerana situasi negara yang sedang melaksanakan PKP,” katanya.

Berdasarkan maklumat mengenai fenomena gerhana penuh yang dimuatnaik MYSA di akaun Instagram, ia berlaku apabila matahari, bumi dan bulan berada pada kedudukan sebaris serta keseluruhan bulan merentasi bayangan umbra.

Umbra adalah bahagian bayang yang sangat gelap manakala penumbra, bahagian luar bayang yang relatifnya lebih cerah.

Bulan dengan perlahan-lahan bertukar daripada warna putih bersinar kepada kemerahan. Kesan umbra ini boleh dilihat dengan mata kasar.

KETERANGAN FASA GERHANA BULAN DI MALAYSIA

1. Sekitar jam 4.47 petang

Fasa gerhana penumbra (P1)

– Bulan mula memasuki penumbra.

– Tidak kelihatan kerana bulan berada di bawah ufuk

2. Sekitar jam 5.44 petang

Fasa gerhana separa bermula (U1)

– Bulan mula memasuki umbra

– Tidak kelihatan kerana bulan berada di bawah ufuk

3. Sekitar jam 7.11 malam

Fasa gerhana penuh bermula (U2)

– Bulan mula mengalami fasa gerhana penuh

– Boleh dilihat di Sabah dan Sarawak sahaja ketika bulan terbit dan rendah di ufuk timur.

4. Sekitar jam 7.19 malam

Maksimum

– Gerhana maksimum

– Boleh dilihat di Semenanjung ketika bulan sedang terbit dan rendah di ufuk timur

5. Sekitar jam 7.25 malam

Fasa gerhana penuh tamat (U3)

– Bulan mula keluar dari umbra

– Boleh dilihat kerana bulan berada di atas ufuk

6. Sekitar jam 8.52 malam

Fasa gerhana separa tamat (U4)

– Bulan keluar sepenuhnya dari umbra

– Boleh dilihat kerana bulan berada di atas ufuk

7. Sekitar jam 9.49 malam

Fasa gerhana penumbra tamat (P4)

– Bulan keluar sepenuhnya dari penumbra

– Boleh dilihat kerana bulan berada di atas ufuk

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *