Penduduk Rumah Pangsa Tanjung Aru ‘Dihalau’

KOTA KINABALU: Penduduk rumah pangsa di Tanjung Aru berada dalam dilema apabila surat arahan memerintahkan mereka mengosongkan bangunan dikeluarkan pagi semalam.

Seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Awang berkata, dalam keadaan ekonomi tidak stabil dan pandemik Covid-19 ini tiba-tiba mereka diarahkan untuk berpindah keluar.

“Kami faham keadaan struktur bangunan ini sudah agak lama dan semakin banyak kebocoran berlaku namun, ini bukan masa yang sesuai untuk kami berpindah.

“Ketika ramai orang kehilangan kerja dan berdepan pemotongan gaji kami dibebani pula dengan arahan berpindah. Kebanyakan penduduk di sini bukan dari golongan yang senang, dimana kami hendak berpindah pada masa yang sukar ini,” katanya.

Menurutnya, untuk berpindah masuk ke rumah baharu sekurang-kurangnya memerlukan deposit dua bulan bayaran sewa. Dimana hendak mencari duit sebanyak itu pada masa sekarang.

Mereka berharap kerajaan akan memberi pertimbangan untuk penghuni terus tinggal di sini sehingga pandemik Covid-19 berakhir atau lekuk dilandaikan.

Bayangkan ada keluarga yang hendak makan sehari sekali pun susah semasa pandemik ini.

Dalam surat arahan yang ditandatangani oleh Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) itu menyatakan rumah pangsa berusia 50 tahun tersebut tidak selamat untuk diduduki kerana keretakan mula berlaku pada lantai dan atap mula mengalami kebocoran.

Sistem perpaipan air dan saluran najis juga berulang kali mengalami kerosakan.

Untuk itu, penduduk diarahkan berpindah atas inisiatif sendiri bagi mendapatkan tempat tinggal yang baharu.

Notis tersebut.

Rumah-rumah sewa LPPB sedia ada amat terhad maka, LPPB akan memberi keutamaan kepada penyewa yang rumah mereka mengalami kerosakan teruk serta tidak mempunyai tunggakan bayaran sewa, orang kurang upaya dan warga emas untuk berpindah ke mana-mana rumah sewa yang kosong dibawah LPPB. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *