Tergelincir Ketika Tolak Perahu, Lelaki Korban Pertama Banjir Di Sabah

Mayat mangsa lemas di Kampung Mantao, Beaufort, ditemui pasukan bomba tidak jauh dari lokasi dia tergelincir.

BEAUFORT: Seorang lelaki berusia 21 tahun dipercayai tergelincir ketika menolak perahu dinaiki bapa dan kakak iparnya, ditemui lemas dalam kejadian di Kampung Mantao, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa dikatakan membantu mengemas barang di tempat jualan sarang burung milik abang kandungnya.

Bagaimanapun, ketika hendak pulang dari tempat berkenaan, mangsa dikatakan tergelincir ketika menolak perahu sebelum tenggelam dan gagal ditemui.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, mangsa dikenali sebagai Fairol Jisirun dan siasatan awal mendapati mangsa cuba menolak perahu yang dinaiki ahli keluarga selepas selesai membantu di premis abangnya.

“Bagaimanapun, selepas tergelincir, abang mangsa yang turut berada di lokasi kejadian cuba membantunya namun gagal kerana tidak tahu berenang.

“Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kemudiannya dimaklumkan dan usaha pencarian segera dilakukan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, mayat mangsa akhirnya berjaya ditemui tidak jauh dari lokasi terakhir mangsa tergelincir.

“Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Beaufort untuk tindakan selanjutnya dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

“Mangsa adalah korban pertama insiden banjir di daerah Beaufort,” katanya. – Asiatimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *