4 Kluster Tempat Kerja, Majlis Keramaian Di Sabah

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Masidi Manjun berkata banyak aspek perlu diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat oleh MKN.

KOTA KINABALU: Empat kluster baharu direkodkan di Sabah hari ini membabitkan tiga kluster berpunca dari tempat kerja dan satu daripada majlis keramaian.

Jurucakap COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata kluster berkenaan adalah Jalan Pengalat Lok Kawi di Papar, Kluster Lorong Karamunsing dan Kluster Jalan Tun Fuad di Kota Kinabalu serta Kluster Jalan Kretam Silimpopon di Kalabakan.

Kluster Jalan Pengalat Lok Kawi mencatatkan 16 kes, Kluster Lorong Karamunsing (28), Kluster Jalan Tun Fuad (11) manakala Kluster Jalan Kretam Silimpopon, 42 kes.

Kluster Jalan Pengalat Lok Kawi adalah kluster tempat kerja membabitkan pekerja kilang CCK Fresh Mart Sabindo di Papar.

“Kes indeks adalah lelaki 32 tahun, petugas di unit kawalan kualiti (QC) kilang berkenaan dan mula bergejala sejak 10 Mei lepas sebelum disahkan positif di Klinik Kesihatan Inanam pada 18 Mei. Susulan kes terbabit, majikan telah menjalankan saringan di tempat kerja terhadap 69 pekerja kilang terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata jumlah kes harian COVID-19 telah meningkat kepada tiga angka.

“Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah 245 menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 59,909 kes dan satu kes kematian direkodkan di Tawau,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost