Budak Tiga Tahun Perlu Bantuan Bedah Jantung

Hans Jerald Johnboy Wong, 3, bersama ibunya Marsiolena Enna Mamat di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur. – Gambar NSTP/Rohanis Shukri

KOTA KINABALU: Tiada yang lebih menggembirakan pasangan suami isteri selain melihat anak yang sedang membesar hidup sihat dan dapat menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain.

Namun, bagi seorang ibu dari Kampung Kitobu, Inanam, dekat sini, melihat kesukaran anak bongsunya bernafas sehingga badan kebiruan kerana kekurangan oksigen sangat merisaukan diri dan keluarganya.

Marsiolena Enna Mamat, 27, berkata anak lelakinya itu, Hans Jerald Johnboy Wong, 3, disahkan menghidap kecacatan injap jantung sebelah kiri sejak lahir menyebabkannya mudah menjadi lemah jika banyak bergerak.

Dikesan sejak masih dalam kandungan, masalah dihadapi Hans, katanya menyebabkan anak bongsu daripada dua beradik itu lebih banyak menghabiskan masa menjalani rawatan di hospital sejak dilahirkan.

“Doktor sudah mengesan masalah ini sejak dia masih dalam kandungan lagi dan atas sebab itu jugalah doktor menyarankan saya melahirkan secara pembedahan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) di Likas, Kota Kinabalu.

“Selepas dilahirkan pada 25 September 2018, Hans terus ditahan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) HWKKS dan berada di sana selama dua bulan sebelum dibenarkan pulang,” katanya.

Katanya, disebabkan masalah itu, Hans memerlukan pemerhatian sepanjang masa, selain perlu menjalani rawatan berterusan di hospital bagi memastikan keadaan kesihatannya terkawal.

Bagaimanapun, katanya situasi dihadapi Hans tidak mungkin bertambah baik jika tidak menjalani pembedahan untuk memulihkan kecacatan injap jantung yang dialami kanak-kanak berkenaan.

Marsiolena berkata, Hans perlu menjalani pembedahan segera di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, namun kos yang mencecah RM70,000 menyebabkan dia dan suami, Boniface Johnboy Wong, 38, menghadapi kesukaran untuk menyediakannya.

“Selain kos pembedahan yang tinggi, kami juga terpaksa menanggung kos penerbangan dan rawatan sepanjang Hans dirawat di Kuala Lumpur selain rawatan susulan di Kota Kinabalu,” katanya.

Katanya, sebagai seorang suri rumah, manakala suaminya pula yang hanya bekerja sebagai juruteknik teknologi maklumat, mereka tidak mempunyai kemampuan atau simpanan yang mencukupi bagi menampung kos pembedahan Hans.

Namun, katanya Hans perlu menjalani pembedahan dan mereka berharap prosedur itu dapat dijalankan segera, selain berjaya dilaksanakan dengan sempurna bagi memulihkan kesihatan Hans.

“Mungkin disebabkan banyak bergerak, Hans sering kelihatan lemah dan badan menjadi kebiruan berikutan paras oksigen yang rendah. Keadaan itulah yang merisaukan kami, dan saya sangat berharap dia dapat menjalani pembedahan dengan segera” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP melalui akaun Maybank 5141-0532-3170 dengan menyertakan nama pesakit.

Bagi sumbangan yang menggunakan cek, nama pesakit perlu ditulis di belakang cek berkenaan dan dihantar ke Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad, Tingkat 4, Anjung Riong, Balai Berita, No 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

SumbeR: BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost