4 Kawasan Di Sabah Laksana PKPD Bermula Sabtu

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di empat kawasan perumahan di Sabah bermula Sabtu.

Kawasan terbabit adalah Kampung Idani, Semporna; Kampung Pisang, Tawau; Kampung Getah, Kampung Getah Tengah dan Taman Kunak Jaya di Kunak, Sabah.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD itu akan bermula Sabtu ini sehingga 4 Jun.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan sembilan kes positif Covid-19 di Kampung Idani, manakala Kampung Pisang (7 kes), Kampung Getah, Kampung Getah Tengah dan Taman Kunak Jaya (12 kes).

“KKM memaklumkan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti berkenaan dan terdapat peningkatan kes secara ketara dalam masa singkat.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di lokaliti berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan PKPD itu bagi memudahkan KKM menghalang pergerakan penduduk sekali gus mengekang penularan wabak ke kawasan lain. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *