Banjir Kilat Beberapa Kawasan Sekitar Kota Kinabalu

Keadaan banjir kilat yang berlaku di sekitar jalan utama di Putatan.

KOTA KINABALU: Kesesakan lalu lintas dilaporkan berlaku di sekitar ibu negeri selepas beberapa lokasi dilanda banjir kilat akibat hujan lebat berterusan sejak jam 2 petang tadi.

Antara kawasan terjejas adalah Putatan, Kolombong dan beberapa lagi kawasan lain termasuk daerah Tuaran dan Penampang.

Tinjauan mendapati keadaan air yang menenggelami jalan utama menyukarkan pergerakan lalu lintas berikutan ianya berlaku di waktu puncak.

Keadaan itu mengakibatkan kenderaan kecil terpaksa bergerak perlahan akibat kesukaran untuk melalui jalan yang digenangi air banjir.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, setakat ini, tiada sebarang panggilan kecemasan berhubung kejadian banjir kilat berkenaan.

Bagaimanapun katanya, pihak JBPM sentiasa bersiap sedia untuk sebarang insiden kecemasan.

“JBPM Sabah akan menggerakkan anggota dan jentera secukupnya di seluruh Sabah untuk tindakan pantas sekiranya diperlukan.

“Ia bagi memastikan setiap kemungkinan atau kemalangan dapat ditangani dengan sebaiknya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, masyarakat dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan mempersiapkan diri sekiranya berdepan musibah banjir pada bila-bila masa.

Sementara itu, kenyataan yang dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah menegaskan, mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Dewan DSP Mohd Dun Banir, Beaufort, sudah ditutup jam 4.40 petang tadi.

Kenyataan yang dikeluarkan itu berkata, semua mangsa banjir yang ditempatkan di pusat berkenaan sejak semalam, sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

“Manakala bagi PPS Pusat Kebudayaan Kalang Kanar, Tenom, bilangan mangsa yang masih ditempatkan di pusat berkenaan hanya seramai 26 orang,” katanya. – AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *