2 Beranak Maut, Kereta Bertembung Treler Di Jalan Sandakan

Kemalangan membabitkan PERODUA Kancil dan treler di Jalan Sandakan ke Kinabatangan, menyebabkan dua beranak maut petang tadi. – Foto ihsan bomba

KINABATANGAN: Dua beranak maut dalam kemalangan selepas kenderaan dinaiki mereka bertembung dengan treler di Jalan Sandakan ke Kinabatangan, berdekatan Kampung Lot M, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 petang, Badarun Dosi, 78, dan anak lelakinya, July, 48, yang menaiki kereta PERODUA Kancil meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di badan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamaluddin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada jam 3.20 petang.

Beliau berkata, pihaknya menghantar tujuh anggota ke lokasi kejadian dengan sebuah jentera penyelamat.

“Sebaik tiba enam minit kemudian, kita dapati kemalangan berlaku membabitkan dua kenderaan iaitu PERODUA Kancil dinaiki dua beranak yang sedang menuju ke arah Kinabatangan bertembung dengan treler dalam perjalanan ke arah Sandakan.

“Kemalangan menyebabkan dua mangsa dilaporkan tersepit sebelum berjaya dikeluarkan anggota bomba, namun pasukan perubatan mengesahkan kedua-duanya meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, pemandu lori berusia 66 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Lokasi kemalangan di Jalan Sandakan ke Kinabatangan berdekatan Kampung Lot M di Kinabatangan petang hari ini. Foto Ihsan JBPM

Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 4.17 petang. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *