Ziarah Aidilfitri, Majlis Perkahwinan Cetus 3 Kluster Baharu Di Sabah

KOTA KINABALU: Aktiviti ziarah Aidilfitri mencetuskan dua kluster baharu masing-masing di Tawau dan Lahad Datu manakala satu kluster berkaitan majlis restu perkahwinan direkodkan di Penampang.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata Kluster Pagar Sungai Imam di Tawau dikesan disebabkan aktiviti kunjung-mengunjung ketika sambutan Aidilfitri, minggu lalu membabitkan kes indeks seorang lelaki berumur 53 tahun.

Katanya, penularan virus berkenaan dipercayai berlaku melalui bersalaman dan berkucupan sesama ahli keluarga menyebabkan 27 orang termasuk kes indeks dijangkiti COVID-19 daripada 70 individu yang disaring setakat ini.

“Kes indeks dikesan positif pada 15 Mei lalu selepas menjalani saringan bergejala. Susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan terhadap ahli keluarga yang tinggal di lokaliti terbabit membabitkan empat rumah dengan jumlah isi rumah seramai 43 orang,” katanya dalam kenyataan media malam ini.

Dalam kes di Lahad Datu, katanya, Kluster Muhibbah Dua mula dikesan pada 16 April lalu melalui saringan bergejala terhadap kes indeks seorang lelaki berumur 47 tahun.

Masidi berkata, kes indeks dipercayai dijangkiti COVID-19 ketika melakukan rentas daerah ke Tawau atas urusan peribadi pada 7 April lalu sebelum kembali ke Lahad Datu dan menjangkiti ahli keluarga lain.

“Hasil pengesanan secara aktif dan saringan terhadap 22 ahli keluarga serta kontak rapat, 13 lagi kes disahkan positif menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 14 kes.

“Berdasarkan rekod pergerakan, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika melakukan rentas daerah ke Tawau selama dua hari bermula 7 April lalu.

“Selain itu, kes indeks turut menghadiri aktiviti berbuka puasa dan sambutan Aidilfitri di rumah mentua di Kampung Muhibbah bersama ahli keluarga yang lain. Semua 14 kes positif COVID-19 dalam kluster ini dirujuk ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut dan pengasingan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Lahad Datu,” katanya.

Sementara itu, Kluster Kolopis di Penampang tercetus melalui penganjuran majlis restu perkahwinan di Kampung Kolopis yang membabitkan kes indeks seorang pesara lelaki.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata kes indeks dikesan positif COVID-19 pada 4 Mei lalu, manakala 12 lagi dikesan positif melalui saringan kontak rapat, menjadikan jumlah kumulatif kes setakat ini sebanyak 13 orang.

Beliau berkata, tiga kluster baharu itu adalah antara punca kes baharu positif COVID-19 di Sabah meningkat mendadak kepada 160 kes hari ini selepas hanya mencatat kes dua angka sejak beberapa minggu lalu.

“Kluster baharu dan sedia ada mencatat 62 kes atau 38.8 peratus, manakala saringan kontak rapat menyumbang 70 kes atau 43.8 peratus, diikuti 23 kes atau 14.4 pertaus melalui saringan bergejala,” katanya.

Hari ini juga menyaksikan zon hijau di Sabah berkurangan kepada lapan daerah selepas Kuala Penyu mencatat 10 kes baharu menyebabkannya bertukar ke zon kuning, manakala daerah dalam zon merah meningkat kepada 10 selepas Kinabatangan bertukar daripada jingga ke zon merah. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *