Pelajar Sabah Diiktiraf Di Festival Seni Eropah

Anievizetty Binius @ Julius

KENINGAU : Seorang pelajar dari Kolej Vokasional Keningau telah menyertai festival kesenian dalam talian World Cup of Folklore Veliko Tarnovo anjuran European Association of Folklore Festivals (EAFF) yang berpusat di Bulgaria pada 4 hingga 12 Mei 2021.

Anievizetty Binius @ Julius yang mempersembahkan tarian joget melalui rakaman video yang dihantar kepada penganjur telah diiktiraf dengan diploma emas (Golden Diploma).

Pengiktirafan ini diberikan kepada Anievizetty kerana telah berjaya mencapai markah dalam lingkungan mata tertinggi iaitu 150.01 sehingga 180.00.

Terdapat banyak penyertaan dari pelbagai negara termasuk beberapa sekolah di Malaysia.

Festival tersebut yang dilaksanakan secara maya telah mula memaparkan video rakaman persembahan peserta sejak 4 Mei 2021.

Sesiapa sahaja boleh menonton setiap rakaman dan membuat undian di laman sesawang festival tersebut. Majlis pengumuman penerima anugerah telah dijalankan secara langsung di saluran YouTube penganjur pada 12 Mei 2021.

Pelajar ini telah dilatih dan dibantu oleh guru tarian KV Keningau, Puan Nurazilah Othman, beserta salah seorang penari kolej tersebut, Alvira Dororis, yang pernah membuat persembahan secara bersemuka di Indonesia pada tahun 2019.

Pengarah KV Keningau, Encik Johari @ Jaibet Bin Sabin, menyifatkan penglibatan pelajar ini dalam bidang seni persembahan sebagai bukti kepelbagaian bakat di kalangan para pelajar memandangkan KV Keningau merupakan institut yang berfokuskan bidang kemahiran.

Beliau sentiasa menekankan kepentingan bidang seni yang mampu membantu memelihara warisan budaya.

Persembahan tariannya bolehlah ditonton melalui pautan berikut:

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost