Larangan Rentas Negeri & Daerah Mulai 10 Mei Hingga 6 Jun

KUALA LUMPUR: Semua aktiviti rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara tidak dibenarkan, berkuat kuasa Isnin ini hingga 6 Jun ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sepanjang tempoh itu juga aktiviti berkaitan sosial, pendidikan dan ekonomi yang boleh menyebabkan perhimpunan atau kesesakan awam, adalah tidak dibenarkan.

“Ini termasuk aktiviti rasmi, sosial dan aktiviti bersemuka oleh kerajaan serta swasta.

“Bagaimanapun, keputusan ini akan disemak semula selepas dua minggu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, semua bazar Ramadan dan Aidilfitri dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan ditutup mulai Isnin ini.

Beliau berkata, bazar Ramadan yang tersenarai dalam sistem Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (HIDE) akan ditutup tiga hari berkuat kuasa serta- merta.

“Kerajaan pernah memberi amaran prosedur operasi standard (SOP) akan diperketatkan di semua kawasan PKP, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sekiranya kes COVID-19 meningkat di seluruh negara.

“Ketika ini, kerajaan sentiasa meneliti SOP dan sekiranya berlaku pertambahan kes harian, kerajaan akan mendapatkan nasihat dan penilaian risiko daripada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membolehkan SOP itu diperketatkan,” katanya.

Beliau berkata, trend penularan COVID-19 dalam negara semakin membimbangkan ditambah dengan penemuan varian baharu virus itu.

Katanya, ia menyebabkan beberapa negeri melaksanakan PKP secara bersasar seperti Kedah, Selangor, Johor dan terbaharu Pulau Pinang serta Pahang, susulan beberapa kawasan di negeri berkenaan bertukar menjadi zon merah.

“Bagi memastikan tiada kekeliruan, segala keputusan dan pengumuman pelaksanaan PKP di mana-mana kawasan atau negeri akan dibuat oleh Kerajaan Persekutuan selepas ia diputuskan dalam sidang mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *