Rumah Melebihi 20 Individu Semasa Hari Raya Aidilfitri Akan Dikompaun

Hazani Ghazali

KOTA KINABALU: Polis akan menjalankan rondaan ketat sepanjang Hari Raya Aidilfitri dan mana-mana rumah yang didapati dihadiri lebih dari 20 individu akan dikompaun serta merta.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata tindakan tegas itu dilaksanakan bagi memastikan tidak berlakunya perkumpulan beramai-ramai serta rumah terbuka sepanjang tempoh perayaan.

“Kita akan menjalankan pemeriksaan dari rumah ke rumah dan mana-mana yang didapati melebihi dari 20 individu akan dikompaun serta merta.

“Kita hanya benarkan perjumpaan antara ahli keluarga sahaja dan aktiviti rumah terbuka sama sekali tidak dibenarkan untuk memastikan tiada penularan COVID-19 yang boleh mencetuskan kluster baharu bagi musim perayaan,” katanya.

Beliau berkata Polis Kontinjen Sabah juga mempunyai 358 team pematuhan yang akan melaksanakan operasi ini termasuklah Sekatan Jalan Raya (SJR) yang diwujudkan selepas pemansuhan kebenaran merentas zon oleh Kerajaan Negeri baru-baru ini.

“Saya menyokong larangan rentas daerah sepenuhnya dan kita akan membuka 60 SJR di seluruh Sabah sepertimana dilaksanakan sebelum ini bagi mengelakkan penduduk Sabah melakukan pergerakan rentas daerah secara berleluasa tanpa urusan yang tidak dibenarkan.

“Usaha pemantauan juga dilaksanakan melalui pasukan khas yang akan menjalankan pemantauan cyber secara maya dengan memantau kandungan yang dimuatnaik di dalam media sosial.

“Mana-mana kandungan serta pergerakan yang didapati menyalahi Prosedur Operasi Standard (SOP) akan dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi ,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Majlis Pengagihan Bubur Lambuk daripada Koperasi Kakitangan PETRONAS (KOPETRO) kepada Kontinjen Sabah di IPK sebentar tadi.

Turut hadir Ahli Lembaga KOPETRO Datuk Saharan Untai dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Mazli Mazlan.

Dalam acara terbabit, KOPETRO mengagihkan kira-kira 1,200 bungkusan bubur lambuk sebgaai salah satu penghargaan terhadap tugas PDRM selain jalinan kerjasama antara kedua-dua pihak. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *