
KUDAT: Polis menahan semula seorang banduan lelaki selepas hampir empat jam meloloskan diri dari Mahkamah Kudat, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 3 petang itu, banduan terbabit dibawa ke mahkamah berkenaan untuk sebutan kes mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan.
Selepas selesai sebutan kes, banduan terbabit melarikan diri dengan memanjat pagar mahkamah.
Banduan berusia 35 tahun itu ditahan semula oleh sepasukan polis di kawasan Kampung Pengaraban, di sini, kira-kira jam 7 malam.
Difahamkan, banduan itu sedang menjalani hukuman satu tahun penjara di Penjara Kepayan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Katanya, selepas menerima maklumat mengenai kejadian itu, polis segera menjalankan siasatan dan tidak sampai empat jam, banduan itu dikesan dan berjaya diberkas semula. – BH Online
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost