UPKO & DAP Sabah Desak Siasatan Menyeluruh Pendedahan Hamid

Ewon Benedick (dua dari kiri) bersama Phong Jin Zhe menunjukkan salinan laporan polis dibuat mereka di Balai Polis Karamunsing, hari ini.

KOTA KINABALU: Pemimpin Upko dan DAP Sabah menuntut siasatan penuh dibuat terhadap pendedahan bekas Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, berhubung rasuah politik serta campur tangan menteri dalam penyusunan pasukan polis.

Naib Presiden Upko, Ewon Benedick dan Ketua Pemuda DAP Sabah, Phoong Jin Zhe, dalam kenyataan bersama berkata pendedahan Hamid, baru-baru ini adalah sesuatu yang amat serius dan perlu siasatan menyeluruh.

“Berkenaan dengan rasuah politik, beliau dalam sidang media jelas menyatakan bahawa orang politik ‘naik private jet daripada sini, mana datang duit, pergi Sabah, tiba-tiba dah seorang mengaku nak lompat’.

“Manakala berkenaan campur tangan dalam pentadbiran polis, Hamid dengan jelas menyatakan, ‘apabila berlaku perubahan kerajaan dan beliau dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri, sejak awal lagi di mesyuarat pertama Suruhanjaya Pasukan Polis ini, beliau mendesak untuk mendapatkan kuasa bagi menentukan siapa yang boleh ditempatkan di sana, di sini, situ’.

“Kami berpendapat kedua-dua pendedahan besar ini merujuk kepada Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin, ini sangat serius dan mesti disiasat oleh autoriti termasuk polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” kata mereka.

Mereka berkata, rakyat berhak menghakimi kerajaan Perikatan Nasional (PN) berdasarkan pendedahan itu dan berhak mendapatkan perkhidmatan terbaik daripada PDRM, iaitu untuk memastikan keselamatan dalam negara terpelihara dan penguatkuasaan undang-undang yang adil, bukannya perkhidmatan untuk tujuan politik parti pemerintah.

“Justeru, kami bersama-sama dengan rakyat jelata, khususnya di kawasan yang kami wakili menuntut penyiasatan penuh ke atas pendedahan Hamid dan menuntut kebenaran daripada kerajaan hari ini.

“Kami berdua telah membuat laporan polis untuk tujuan berkenaan dan kami masih yakin Malaysia boleh ditadbir dengan lebih baik, tetapi bukan dengan cara kepimpinan seperti mana didedahkan Hamid,” kata mereka.

Turut bersama Ewon dan Phoong membuat laporan di Balai Polis Karamunsing, ialah Pemangku Setiausaha PKR Sabah, Chrisnadia Sinam dan Pengerusi Amanah Sabah, Lahirul Latigu. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *