Pelajar Sabah Johan Pertandingan Menulis Lagu Antarabangsa

KENINGAU: Pelajar jurusan pembuatan kek dan pastri KV Keningau, Nur Adibah Mohammad Kifli, telah memenangi tempat pertama pertandingan menulis lagu Never Such Innocence 2020/2021 anjuran persatuan kebajian yang berpusat di Britain.

Keputusan tersebut yang diumumkan secara rasmi pada 30 April 2021 menyenaraikan Nur Adibah sebagai juara bagi kategori penulisan lagu bagi lingkungan umur 16-18 tahun.

Tempat kedua dimenangi oleh Liziane Baltazar dari Brazil dan tempat ketiga diduduki oleh Clintin Ambeno berasal dari Cyprus. Selain dari penulisan lagu, terdapat tiga kategori yang turut dipertandingkan iaitu menulis ucapan, menulis puisi serta hasil seni lukisan.

Tema bagi pertandingan tersebut adalah suara konflik yang tidak didengari: kisah dari merata dunia. Senarai pemenang bolehlah dirujuk di laman sesawang penganjur https://www.neversuchinnocence.com/2020-21-winners

Nur Adibah telah menulis lagu bertajuk Free Me (bebaskan saya) yang merupakan luahan perasaannya yang sering tertekan apabila dia membandingkan dirinya dengan yang lain dalam memenuhi kehendak masyarakat.

Adibah menulis lirik tersebut dan menggubahnya menjadi lagu dengan melodi tersendiri. Nur Adibah yang mencintai seni penulisan dan visual juga pernah menyertai pertandingan menulis komik peringkat kebangsaan dan pertandingan melakar kartun peringkat global.

Dia juga giat menulis puisi dan berusaha untuk menerbitkan hasil karyanya dalam majalah sastera.

Selain sijil kemenangan, salah satu ganjaran pertandingan tersebut yang dimenanginya merupakan jemputan untuk menghadiri bengkel menulis lagu dalam talian yang akan dikendalikan oleh finalis pertandingan The Voice di United Kingdom, Bethzienna Williams.

Pengarah KV Keningau, Johari @ Jaibet Bin Sabin, memuji penglibatan pelajar ini dalam pertandingan menulis lagu yang membuktikan bakat terpendam para pelajar dalam pelbagai bidang khususnya bidang seni yang wajar diterokai dan diperkembangkan melalui aktiviti-aktiviti sekolah.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *