Airasia Farm Bawa Mangga Harumanis Ke Sabah

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes (tiga dari kiri) bergambar pada majlis pelepasan penghantaran mangga Harumanis ke Sabah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), hari ini – Foto BERNAMA

SEPANG: Penggemar mangga Harumanis di Sabah kini boleh mendapatkan buah yang menjadi ikon negeri Perlis itu menerusi kerjasama Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan airasia farm.

Penerbangan pertama Harumanis ke Sabah menjadi sebahagian daripada kempen ‘Harumanis Kembali Lagi’ yang dilancarkan oleh MAFI pada 11 April lalu di Beseri, Perlis bagi mempromosi buah ikonik itu.

Penghantaran pertama yang membawa buah mangga Harumanis berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) melalui penerbangan AirAsia AK5104 pada jam 10.25 pagi hari ini.

Mangga berkenaan kemudian akan dihantar ke Tune Hotels Kota Kinabalu sebagai lokasi pengambilan rakan perkhidmatan penghantarnya di Sabah dan airasia farm kemudian akan mengedarkannya kepada peruncit utama di Kota Kinabalu.

Mengulas perkembangan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Airasia Group, Tan Sri Tony Fernandes, berkata airasia farm berhasrat menjadi jenama kukuh dan watak penting dalam rantaian bekalan petani Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang.

Beliau berkata, airasia farm sudah mengumpul lebih 2,000 petani yang menawarkan pelbagai hasil tanaman kepada 300 perniagaan di seluruh negara.

“Kami melihat banyak potensi agro-makanan yang boleh diketengahkan Malaysia. Kita bukan hanya memiliki mangga Harumanis, durian musang king serta buah-buahan lain untuk di pasarkan dalam dan ke luar negara, malah pelbagai lagi makanan basah seperti ikan dan sayur.

“Sejak ditubuhkan pada Jun 2020, airasia farm sudah mengumpul jualan mencecah RM3 juta. Angka ini akan terus meningkat selaras dengan permintaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas upacara pelepasan penerbangan pertama mangga Harumanis ke Sabah di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Menteri MAFI, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Turut hadir, Pengerusi Eksekutif Airasia Group, Datuk Kamarudin Meranun; dan Pengurus Besar airasia farm, Lalitha Sivanaser.

Sementara itu, Kiandee berkata, kerjasama dengan airasia farm bukan sahaja akan memperluas pengedaran Harumanis ke seluruh Malaysia, tetapi membawa buah mangga yang cukup eksklusif itu ke Sabah secara rasmi buat pertama kali dalam skala yang besar.

Katanya, kerjasama yang turut dialu-alukan kepada korporat lain itu juga sejajar dengan penekanan kementerian terhadap sektor pertanian bernilai tinggi yang dapat mewujudkan peluang ekonomi untuk rakyat.

“Jabatan Pertanian menyasarkan hasil pengeluaran sebanyak 3,336 tan mangga Harumanis bernilai RM66.7 juta di Perlis. Daripada jumlah itu, dianggarkan sekitar 50 peratus akan dijual secara dalam talian melalui platform e-dagang seperti airasia food, airasia fresh dan agrobazaar online.

“Justeru, kerjasama MAFI dengan airasia farm bukan sahaja akan memperluas pengedaran Harumanis ke seluruh Malaysia, tetapi juga membawa buah mangga yang cukup eksklusif ini ke Sabah buat pertama kalinya dalam skala yang besar.

“Industri Harumanis bukan sahaja dapat meningkatkan pendapatan kepada 2,415 pengusaha di Perlis, malah mempunyai impak besar terhadap ekonomi serta industri agro-pelancongan dan rantaian bekalan di seluruh negara,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *