Ayat Surah Al-Hijr Dicetak Pada Seluar Dalam

Pegawai Tadbir Agama, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) Sandakan, Romzi Abdul Rahman membuat pemeriksaan di sebuah pasar raya di Sandakan, Sabah. – Foto JHEAINS Sandakan

SANDAKAN: Seluar dalam tertera ayat al-Quran yang dikesan dijual di beberapa pasar raya di Sandakan, dilaporkan memaparkan sepotong ayat dari Surah al-Hijr.

Pegawai Tadbir Agama, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) Sandakan, Romzi Abdul Rahman, berkata semakan mendapati ayat tertera pada seluar dalam itu adalah ayat 98 surah berkenaan.

Menurutnya, ayat itu membawa maksud ‘Oleh itu, bertasbihlah engkau dengan memuji Tuhanmu, serta jadilah dari orang-orang yang bersujud’.

“Ia adalah ayat 98 surah berkenaan dan ia jelas tertera pada boxer terbabit. Rampasan sudah dibuat dan kami menunggu arahan untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pihaknya turut dimaklumkan ada seluar dalam memaparkan gambar dan ketuhanan agama lain.

“Terdapat boxer juga yang tertera gambar berkaitan agama lain. Pengeluar boxer itu bukan hanya mengeluarkan boxer tertera ayat al-Quran, tetapi juga agama lain,” katanya.

Pihaknya sedang menunggu arahan selanjutnya dalam menangani perkara berkenaan.

Terdahulu, BH memaparkan berita berhubung pasar raya di Sandakan dikesan menjual boxer tertera ayat al-Quran.

Perkara itu tular di Facebook lalu diperiksa dan disahkan Jabatan Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Sandakan. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

5154