Pelajar IPT Dibenarkan Balik Kampung Sambut Aidilfitri

Kementerian Pendidikan Tinggi akan menyediakan surat pelepasan perjalanan rentas negeri/ daerah dan menyelaras tarikh pergerakan pulang ke rumah dan kembali ke kampus bagi setiap pelajar. – Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju membenarkan pelajar-pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) untuk pulang ke rumah masing-masing sempena cuti Hari Raya Aildilfitri kecuali negeri Sarawak.

Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah menetapkan beberapa mekanisme kawalan di mana pergerakan pelajar akan dilaksanakan secara berfasa.

“Tarikh yang ditetapkan bagi pergerakan pulang ke rumah masing-masing ialah pada 7 – 12 Mei, manakala pergerakan pelajar kembali ke kampus ialah pada 15 – 20 Mei 2021.

“Pergerakan pulang pelajar akan menggunakan tiga kaedah iaitu menggunakan kenderaan sendiri, dijemput oleh ibu bapa atau penjaga atau menggunakan bas yang diselaraskan oleh IPT. Pergerakan melalui kenderaan awam tidak dibenarkan kecuali perkhidmatan penerbangan,” kata KPT dalam kenyataan yang diedarkan pada Khamis.

Bagi membolehkan pergerakan rentas negeri/ daerah berjalan lancar, KPT juga akan mengeluarkan surat rasmi pemakluman selain menyelaras tarikh pergerakan pulang ke rumah dan kembali ke kampus bagi setiap pelajar.

Dalam masa sama, KPT turut memberi pilihan kepada pelajar sama ada ada pulang ke kediaman masing-masing atau kekal berada di kampus sempena cuti perayaan ini.

Pergerakan pelajar sempena Aidilfitri ini dianggarkan melibatkan 103,994 pelajar yang kini berada di kampus daripada jumlah keseluruhan 1.3 juta pelajar.

Pelajar-pelajar ini terdiri daripada enam kategori pelajar yang dibenarkan untuk menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di kampus sebelum ini.

Para pelajar dan ibu bapa boleh merujuk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) Pergerakan Pelajar IPT Pulang Sempena Cuti Perayaan Aidilfitri dan Dokumen Soalan Lazim yang telah disediakan melalui portal rasmi KPT di www.mohe.gov.my.

Para pelajar yang mempunyai pertanyaan lanjut berhubung perkara ini boleh terus menghubungi pegawai penyelaras di IPT masing-masing atau Bilik Gerakan KPT di talian 03-8870 6777/6949/6623/6628.

Semua pihak mestilah mematuhi SOP yang sedang berkuat kuasa sehingga arahan terkini berhubung perkara ini dimaklumkan. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1235