Kluster Madai: Kunak, Lahad Datu Catat 30 Kes COVID-19

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Masidi Manjun.

KOTA KINABALU: Satu kluster dilaporkan kelmarin iaitu Kluster Madai: Kunak, Lahad Datu yang merekodkan jumlah kumulatif positif COVID-19 sebanyak 30 kes. 

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata daripada jumlah yang dicatatkan, 12 kes daripada Lahad Datu manakala 18 kes lagi di Kunak.

“Kes indeks adalah pekerja pasaraya di Lahad Datu yang dikesan positif dalam saringan bergejala pada 04 April lalu dan hasil saringan kontak rapat pada 08 April mendapati 11 lagi rakan serumah juga disahkan positif.

“Berdasarkan penelitian, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan daripada ibu mertua yang merentas daerah ke Kunak bagi menzarahi anaknya iaitu guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Madai dan kemudiannya disahkan positif oleh pusat kesihatan di Kunak pada 09 April.

“Susulan kes itu, saringan kali kedua terhadap semua guru dan pelajar di SMK Madai dijalankan pada 20 April, selepas saringan pertama pada 10 April gagal mengesan sebarang kes,” katanya.

Tambahnya hasil saringan terbabit kemudiannya mengenalpasti lima pelajar asrama positif, turut dikesan ialah dua kes melibatkan ahli keluarga pelajar asrama berkenaan selepas pulang ke asrama.

“Hasil saringan sampel kedua yang dijalankan pada 27 April kemudiannya mengesahkan enam lagi pelajar asrama SMK Madai positif.

“Saringan di sekolah itu juga mengesahkan satu kes positif, sementara saringan bergejala merekodkan empat kes baharu di Hospital Kunak pada 18 April, aktiviti saringan dan kawalan masih giat dijalankan,” katanya.

Sementara itu beliau berkata Sabah merekodkan 87 kes dengan satu kes kematian direkodkan di Tawau.

Katanya daripada 87 kes positif itu 51 kes adalah berpunca dari saringan kontak rapat, 14 kes saringan bergejala, 18 kes dari kluster baharu dan sedia ada serta empat kes dari lain-lain kategori. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *