Pemuda Hilang Disyaki Dibaham Buaya Di Sungai Brantian

 Anggota Bomba dan agensi penyelamat lain dalam misi SAR di sekitar sungai Brantian.

KALABAKAN: Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas disyaki disambar buaya di Sungai Brantian, di sini kelmarin

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, mangsa, Mazlan Ampung,26, dilaporkan disambar reptilia itu ketika
sedang mandi di sungai berkenaan.

Menurut saksi, Arianshah Ampung yang juga adik mangsa, pada ketika itu dia sedang makan di gerai berhampiran
sebelum mendengar suara teriakan abangnya.

Arianshah kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian namun hanya sempat melihat kocakan yang besar di permukaan
sungai dan mengesyaki kemungkinan abangnya dibaham buaya.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya
menerima panggilan kecemasan pada jam 7.43 malam.

Menurutnya, sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau dihantar ke lokasi kejadian bagi
menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Sebaik tiba, anggota menjalankan SAR dengan kaedah pencarian serta pemerhatian di permukaan air lokasi dimana
mangsa kali terakhir dilihat.

“Pencarian hari pertama dilakukan sehingga ke kawasan sejauh dua kilometer dari lokasi mangsa hilang namun
sehingga jam 11.35 malam masih gagal menemui lelaki itu,”katanya dalam kenyataan media, di sini semalam

Katanya, pencarian disambung semula pada hari hari ini (Rabu) bermula jam 8.30 pagi menggunakan sebuah bot
daripada Bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA dan sembilan bot orang awam. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *