Pekerja Pasar Raya Cetus Kluster Baharu Di Sabah

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Seorang pekerja pasar raya yang dijangkiti Covid-19 mencetuskan satu lagi kluster baharu di Sabah, hari ini iaitu Kluster Madai di Kunak.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, kluster terbabit merekodkan jumlah kumulatif positif Covid-19 sebanyak 30 kes.

Beliau berkata, daripada kluster berkenaan, 12 kes dicatatkan di Lahad Datu manakala 18 kes lagi di Kunak.

“Kes indeks adalah pekerja pasar raya di Lahad Datu yang dikesan positif dalam saringan bergejala pada 4 April lalu dan saringan kontak rapat pada 8 April mendapati 11 rakan serumah turut positif.

“Berdasarkan penelitian, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan daripada ibu mentua yang melakukan rentas daerah ke Kunak bagi menziarahi anaknya iaitu guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Madai.

“Guru itu disahkan positif oleh pusat kesihatan di Kunak pada 9 April lalu dan susulan kes itu, saringan kali kedua terhadap semua guru dan pelajar di SMK Madai dijalankan pada 20 April, selepas saringan pertama pada 10 April gagal mengesan sebarang kes,” katanya.

Beliau berkata, hasil saringan terbabit berjaya mengenal pasti tiga pelajar asrama positif menerusi ujian RTK-Ag dan dua pelajar asrama positif RT-PCR.

Menurutnya, pihaknya turut mengesan dua kes membabitkan ahli keluarga pelajar asrama (pelajar pulang dari asrama).

“Saringan sampel kedua dijalankan pada pada 27 April mengesahkan enam pelajar asrama SMK Madai positif dan saringan tempat kerja (SMK Madai) mengesahkan satu kes positif.

“Sementara itu, saringan bergejala merekodkan empat kes baharu di hospital di Kunak pada 18 April lalu dan aktiviti saringan dan kawalan masih giat dijalankan,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri, berkata jumlah kes harian Covid-19 hari ini mencatatkan dua angka.

Beliau berkata, bBerdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini adalah 87 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 57,916 kes dan satu kes kematian direkodkan di Tawau. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *