Kelindan Lori Maut, Pemandu Parah Kemalangan

Lori yang dinaiki mangsa terbalik di tengah jalan selepas terlibat kemalangan dengan lori treler.

SANDAKAN: Seorang kelindan lori maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori treler di Batu 13 Jalan Labuk, di sini.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Muhamad Alif Haiyati, 20, berstatus warganegara dan alamat terakhir Taman Nuri Batu 7 Sandakan.

Dalam kejadian kemalangan berlaku di Batu 13 Jalan Labuk menghala ke jalan pusat bandar kira-kira jam 2.30 petang,” katanya.

Beliau berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah lori yang dipandu oleh seorang lelaki berumur 23 tahun bersama kelindannya (mangsa) dengan sebuah lori jenis treler dipandu oleh lelaki berumur 46 tahun.

“Hasil siasatan awal polis mendapati, kemalangan berlaku apabila lori treler yang bergerak di lorong kiri hendak masuk ke simpang kiri jalan sebelum dirempuh dari arah belakang oleh lori yang dinaiki mangsa.

“Bagaimanapun, pihak polis masih lagi menjalankan siasatan lanjut berhubung punca sebenar kemalangan terbabit,” katanya.

Dalam kemalangan itu, Mohd Azhar berkata, pemandu lori mengalami kecederaan parah serta masih menerima rawatan di Hospital Duchess Of Kent Sandakan dan kelindannya (mangsa) disahkan meninggal dunia.

“Manakala, pemandu lori treler tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, sampel darah kedua-dua pemandu itu turut diambil bagi tujuan ujian toksilogi.

“Pihak polis meminta kerjasama mana-mana saksi yang melihat bagaimana kejadian kemalangan itu berlaku agar tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *