Ahli ‘Setahun Jagung’ STAR Jangan Masuk Campur Urusan Kami – Ketua Pemuda PBS

Ketua Pemuda PBS Christoper Mandut menyelar kenyataan Setiausaha Penyelaras STAR Kota Marudu Jovilis Majami yang mendakwa zaman PBS sudah berlalu.

KOTA KINABALU: Ketua Pemuda PBS Christoper Mandut mengingatkan ahli politik STAR khususnya yang baru berusia “setahun jagung” supaya menjaga tepi kain sendiri dan tidak mencampuri hal pentadbiran parti itu.

Katanya, kenyataan Setiausaha Penyelaras STAR Kota Marudu, Jovilis Majami, yang mendakwa zaman PBS sudah berlalu, sama sekali tidak berasas sebaliknya perlu mengkaji sejarah PBS sebelum membuat kesimpulan sedemikian.

“Kami tidak memerlukan pendapat beliau (Jovilis) kerana PBS sentiasa berkomunikasi dengan kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Oleh itu, beliau tidak perlu mengingatkan kami tentang kekuatan kami,” katanya dalam kenyataan.

Christoper berkata, PBS sudah bertapak di Sabah selama 36 tahun, merupakan parti berbilang kaum tertua di negara ini dan walaupun selama tiga dekad, PBS masih relevan dan dihormati kerana konsisten, setia dan teguh.

“Pemimpin kami sangat setia, dan kedua-dua Presiden PBS tidak pernah berganjak dan tetap bersama parti sejak penubuhannya, tidak seperti sesetengah ahli politik yang senang goyah sehingga sanggup melompat dari satu parti ke parti lain hanya untuk memenuhi agenda mereka sendiri,” katanya.

Jovilis, dalam kenyataan baru-baru ini, berkata STAR juga bersedia bertanding di kawasan DUN Tandek dan Parlimen Kota Marudu jika PBS bersungguh-sungguh menuntut kerusi Keningau, seperti dibayangkan Presiden PBS, Maximus Ongkili ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PBS Tambunan, minggu lalu.

Christoper yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) berkata, Jovilis tidak mempunyai locus standi untuk berkata mengenai Presiden PBS dan adalah lebih baik beliau menjaga “rumah” sendiri.

“Kenyataan Presiden (Maximus) adalah umum, sama seperti mana-mana pihak lain di bawah GRS, kita semua dibenarkan untuk menyuarakan pandangan, namun akhirnya, terpulang kepada kepimpinan tertinggi yang akan membuat keputusan.

“Oleh sebab itu, dalam hal ini, saya hanya menganggap Jovilis menyuarakan pendapat bagi pihak parti beliau, kerana saya juga sedang melakukan perkara sama demi mempertahankan kehormatan parti saya,” katanya.

Christoper berkata, sekiranya Jovilis serius mengenai STAR akan turut bertanding di Kota Marudu, beliau berjanji PBS akan bekerja keras dan memastikan kemenangan berada di pihak mereka.

Katanya, “gangguan” daripada STAR di kawasan Kota Marudu bukan perkara baharu kerana parti itu pernah meletakkan dua calon bebas di Tandek dan Matunggong pada pilihan raya negeri lalu, yang akhirnya dimenangi calon PBS. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3798