Mana Bantuan Makanan Untuk Rakyat Sabah Bawah PKPD, Tanya Shafie

Shafie Apdal menyeru kerajaan negeri tidak lagi menyusahkan lagi kehidupan rakyat yang berada bawah PKPD.

KOTA KINABALU: Bekas ketua menteri Sabah Shafie Apdal mendesak kerajaan negeri untuk mengambil tahu kekecewaan rakyat, terutamanya di kawasan yang terjejas oleh perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Kata Shafie, tunjuk perasan aman di Kampung Muhibbah Raya, Tawau baru-baru ini, di mana tujuh individu termasuk aktivis ditahan, adalah petunjuk jelas bahawa rakyat sedang marah dan kecewa.

Beliau berkata, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah asyik mengumumkan bakul makanan sedang disediakan dan jutaan ringgit telah diperuntukkan bagi bantuan makanan, tetapi rakyat mengadu tidak melihat “bahkan sebutir beras”.

“Jangan susahkan lagi kehidupan mereka yang berada bawah PKPD. Pihak berkuasa perlu memastikan mereka yang terjejas di Sabah mendapat bantuan makanan sepatutnya tanpa berlengah,” kata Shafie, yang juga presiden Warisan, dalam kenyataan hari ini.

Beliau mencadangkan kerajaan melanjutkan tempoh operasi premis makanan atau perkhidmatan bawa pulang asalkan rakyat tidak disekat daripada mendapatkan makanan.

“(Jika tidak), samalah seperti membiarkan mereka kebuluran,” kata beliau.

“Kita tidak boleh elak laksanakan PKPD, tetapi rakyat di kawasan terjejas perlu dapat makanan. Kerajaan negeri perlu tunjuk sikap belas kasihan. Ini bulan puasa.”

Tujuh individu yang ditahan pada tunjuk perasaan Sabtu lalu, berusia antara 26 dan 31 tahun, mendakwa kebajikan penduduk Kampung Muhibbah Raya diabaikan.

Bagaimanapun, Presiden Majlis Perbandaran Tawau Arnold Joibi menafikan bahawa penduduk di 20 lokaliti bawah PKPD di daerah itu, termasuk Kampung Muhibbah Raya, tidak menerima bantuan makanan.

Katanya, 8,752 bakul makanan telah diedarkan kepada 7,372 ketua isi rumah di lokaliti tersebut sejak 1 April, termasuk 540 bakul makanan ke Kampung Muhibbah Raya.

Mereka yang ditahan Sabtu lalu, iaitu segelintir daripada sekumpulan individu yang memprotes lanjutan PKPD di kampung tersebut, telah dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

Sementara itu, Shafie berkata, beliau juga mendapat aduan bahawa penduduk di kawasan pembangkang tidak mendapat bantuan makanan.

Katanya, ini tidak sepatutnya terjadi kerana ia melibatkan dana kerajaan yang patut diagihkan secara adil.

“Berhentilah main politik, dan buat apa sepatutnya dilakukan sebagai kerajaan semasa,” gesanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *