PKPB: Sabah Kekalkan Kebenaran Rentas Daerah Ikut Zon

Masidi Manjun

KOTA KINABALU, 27 April : Kerajaan Negeri Sabah mengekalkan kebenaran rentas daerah mengikut enam zon ditetapkan walaupun negeri ini bertukar status daripada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun berkata sehubungan itu penduduk negeri ini hanya dibenarkan merentas daerah dalam zon yang telah ditetapkan sebelum ini.

  • Zon Satu — Daerah Kota Kinabalu, Kota Belud, Ranau, Tuaran, Penampang, Putatan dan Papar 
  • Zon Dua —  Beaufort, Kuala Penyu dan Sipitang
  • Zon Tiga —  Kudat, Kota Marudu dan Pitas
  • Zon Empat — Sandakan, Beluran, Kinabatangan dan Tongod
  • Zon Lima — Tawau, Semporna, Lahad Datu, Kunak dan Kalabakan
  • Zon Enam — Keningau, Tambunan dan Tenom.

“Keputusan mengekalkan prosedur operasi standard sedia ada itu juga bagi mempercepat pemulihan sektor ekonomi selagi mana ia tidak menghalang usaha membanteras penularan wabak COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Majlis Keselamatan Negara hari ini mengisytiharkan Sabah ditukar status kepada PKPB berkuat kuasa Khamis ini hingga 17 Mei depan berikutan peningkatan zon merah di negeri ini.

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap kerajaan negeri berkenaan COVID-19 berkata, sebanyak 82 kes baharu positif dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif 57,829, manakala jumlah pesakit sembuh dan dibenarkan keluar hospital seramai 140 orang menjadikan jumlah kumulatif 56,305 orang.

Beliau berkata lapan daerah di Sabah berada dalam Zon Merah iaitu Kota Kinabalu, Tawau, Lahad Datu, Kunak, Sandakan, Papar, Putatan dan Kinabatangan.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *