Kluster Dambai Inanam Direkodkan Melalui Satu Majlis Pertunangan

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Satu kluster baharu dikesan di Sabah selepas kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika menghadiri majlis pertunangan di Kampung Dambai, Mukim Kionsom, Inanam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Kluster Dambai Inanam itu melibatkan tiga komuniti di daerah Kota Kinabalu, Putatan dan Kuala Penyu.

“Kes indeks merupakan individu yang dikesan positif COVID-19 hasil saringan bergejala di klinik swasta pada 16 April 2021.

“Susulan kes itu, pasukan kawalan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah telah menjalankan pengesanan kontak dalam kalangan tetamu majlis berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, daripada 19 sampel yang diambil, 18 kes dikenalpasti positif COVID-19 termasuk tiga kes di Putatan, lima kes di Kuala Penyu. 

Katanya, kluster bertambah parah apabila salah seorang daripada individu yang disahkan di Kuala Penyu adalah guru yang kemudiannya menjangkiti dua orang murid dalam kelas jagaannya. 

“Sehingga hari ini, jumlah kumulatif bagi kluster ini ialah 19 kes,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada 24 April 2021 adalah sebanyak 132 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 57,538 kes.

Menurutnya, terdapat dua kes kematian direkodkan iaitu  masing-masing satu kes di daerah Tawau dan Sandakan.

“Jumlah pesakit COVID-19 sembuh ialah 120 menjadikan jumlah kumulatif 55,894 orang. Seramai 967 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 296 orang di hospital, 661 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan 10 orang lagi di Pusat Tahanan Sementara (PTS) atau penjara.

“Bilangan pesakit dalam Unit Rawatan Rapi pula ialah 45 orang dan 23 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Katanya, daripada 132 kes positif COVID-19, sebanyak 90 kes adalah berpunca dari saringan kontak rapat, 24 kes saringan bergejala, 15 kes dari kluster baharu dan sedia ada serta tiga kes dari lain-lain kategori.

Sementara itu, Masidi berkata, Kerajaan Negeri bersetuju memberi kelonggaran dua jam untuk operasi perniagaan di semua lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu bermula jam 6 pagi sehingga 8.00 malam berkuat kuasa serta merta.

Katanya, kelonggaran itu untuk membolehkan para pengusaha gerai, restoran dan kedai makan meneruskan perniagaan khususnya juadah berbuka puasa.

Sebelum ini katanya, kerajaan menetapkan operasi perniagaan dihadkan sehingga jam 6 petang sahaja.

“Kerajaan negeri juga bersetuju untuk menamatkan PKPD di enam lokasi selaras dengan keputusan kerajaan persekutuan. 

“Lokasi-lokasi itu ialah Taman Cahaya, Jalan Tengku Osman, Kuarters Bomba Tawau, Jalan Mesra, Taman Golden Hill, dan Taman Sri Bukit,” katanya.

Bagaimanapun katanya, Kerajaan Negeri bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Bandar Sri Indah dan Kampung Titingan bermula 26 April sehingga 9 Mei 2021 selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan.
– Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *