6 Individu Sertai Protes PKPD Di Tawau Boleh Dikompaun RM10,000

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali

KOTA KINABALU: Enam individu terlibat dalam perhimpunan protes bagi menentang keputusan kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Muhibbah, Tawau boleh dikenakan kompaun sehingga RM10,000.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, pihaknya mengambil tindakan tegas terhadap semua peserta protes itu dan mungkin mereka akan dikenakan kompaun sehingga RM10,000.

“Tindakan yang dilakukan kumpulan tersebut jelas melanggar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Kompaun RM10,000 mengikut Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit)(Pindaan) 2021 terpakai untuk semua kategori Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam satu kenyataan petang semalam.

Menurutnya, tindakan yang diambil itu berdasarkan Ordinan Darurat yang dilaksanakan demi menjamin keselamatan orang ramai.

Perhimpunan protes itu dipercayai berlaku kerana penduduk tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan melanjutkan PKPD di Kg Muhibbah, Tawau sehingga 8 Mei susulan peningkatan kes di lokaliti tersebut.

Lanjutan PKPD itu akan menyebabkan pergerakan penduduk kampung terbatas dan menjejaskan sumber pendapatan mereka.

Antara individu yang ditahan petang semalam adalah aktivis dan guru sekolah alternatif Borneo Komrad, Mukmin Nantang yang menyuarakan kebimbangan tentang kebajikan penduduk yang dikenakan PKPD untuk tempoh dua minggu lagi.  – Utusan Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *