COVID-19: 2,847 Kes Baharu, 8 Kematian Hari Ini

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA: Kes COVID-19 melebihi 2,000 kes pada sembilan hari berturut-turut apabila sebanyak 2,847 kes dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini sebanyak 387,535 kes.

Daripada jumlah itu, katanya, Selangor mencatatkan kes harian tertinggi hari ini dengan 748 kes baharu.

“Daripada jumlah kes di Selangor, 602 kes (80.5 peratus) adalah daripada kluster sedia ada dan saringan kontak rapat kes positif COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti oleh Sarawak sebanyak 717 kes (25.2 peratus) dan Kelantan dengan 476 kes (16.7 peratus).

“Selain itu, 62 kes (2.2 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster dalam penjara dan Depoh Tahanan Imigresen (DTI) yang membabitkan Kluster DTI Lenggeng (56 kes), Kluster Telok Mas (4 kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (1 kes), dan Kluster Jalan Salleh (1 kes),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pertambahan kes hari ini menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 sebanyak 22,512 kes dan daripada jumlah itu 260 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 125 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, hari ini terdapat lapan kes kematian membabitkan tujuh warganegara dan seorang warga asing.

Kes kematian itu masing-masing dua kes dilaporkan di Kelantan, Sabah, Sarawak dan Kuala Lumpur.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, hari ini lapan kluster baharu dikesan oleh pihaknya iaitu lima kluster institusi pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM), dua dalam kalangan komuniti dan satu di tempat kerja.

“Kluster sekolah atau institusi pendidikan yang dikesan hari ini ialah Kluster Jalan Roban Lama (Saratok dan Kabong, Sarawak) menjangkiti 48 kes; Kluster Jalan Selirik (Kapit, Sarawak) menjangkiti 23 kes dan Kluster Jalan Sungai Daun (Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang) menjangkiti sembilan kes.

“Selain itu ialah Kluster Persiaran Sri Saujana (Kota Tinggi dan Johor Bahru) menjangkiti lapan kes; Kluster Mempaga Satu (Bentong, Maran dan Petaling) menjangkiti 44 kes serta Kluster Gong Dermin (Kota Bharu) menjangkiti 51 kes,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kluster lain ialah Kluster Sri Desa di Temerloh dan Bentong yang menjangkiti 10 kes serta Kluster Jalan Bukit Bintang (Lembah Pantai dan Titiwangsa) yang menjangkiti tujuh kes.

Sementara itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan sehingga jam 12 tengah hari ini terdapat 2,341 kes sembuh dilaporkan yang menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini sebanyak 363,608 kes atau 93.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *