PKPD: UMS Beri Jaminan Jaga Kebajikan Pelajar

Universiti Malaysia Sabah memberi jaminan akan memastikan kebajikan pelajar yang berada di kampus induknya sentiasa terjaga sepanjang Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) memberi jaminan akan memastikan kebajikan pelajar yang berada di kampus induknya, di sini sentiasa terjaga sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kampus berkenaan.

Dalam maklum balasnya hari ini, pengurusan universiti itu menjelaskan pelbagai pihak juga tampil memberi sumbangan kepada pelajar sejak PKPD dikuatkuasakan di kampus itu bermula awal bulan ini dalam usaha untuk mengekang penularan COVID-19.

“Alhamdulillah, setakat ini terdapat individu, organisasi dan agensi kerajaan seperti Yayasan Sime Darby, Alumni UMS, orang perseorangan, Bantuan Bakul Makanan dan Pusat Islam UMS memberi sumbangan kepada pelajar yang berada di dalam kampus.

“Pihak UMS merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua penyumbang,” katanya ketika diminta mengulas keadaan pelajar dan warga kampus UMS yang tidak dibenarkan keluar, berikutan pelaksanaan PKPD yang dilanjutkan sehingga 2 Mei depan.

Berikutan itu, pihak UMS meminta ibu bapa atau penjaga pelajar supaya tidak risau terhadap keadaan anak mereka yang terbabit dengan penguatkuasaan perintah berkenaan.

“Kepada ibu bapa atau penjaga pelajar yang anak mereka terkesan disebabkan pelaksanaan PKPD di kampus induk UMS, pihak UMS meminta mereka agar jangan risau terhadap keadaan anak mereka kerana UMS akan sentiasa memantau dan menjaga kebajikan pelajar.

“Ibu bapa atau penjaga pelajar boleh menghubungi talian ‘hotline’ Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS di nombor 088-320060 jika mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan dengan keadaan anak mereka,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai situasi di dalam kampus, katanya kemudahan perlu seperti kafe dan kedai runcit dibuka mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi kawasan PKPD untuk membolehkan pelajar membeli makanan dan barang keperluan mereka termasuk untuk berbuka puasa.

Ketika ini, seramai 3,911 individu berada di dalam kampus induk UMS itu yang dikenakan PKPD.

Mengenai kuliah sepanjang PKPD, katanya UMS menetapkan kuliah masih diteruskan, namun dilaksanakan secara dalam talian yang membabitkan pelajar di dalam kampus dan yang tinggal di luar.

“Pelajar UMS yang tinggal di luar kampus tidak dibenarkan memasuki kawasan kampus induk buat masa ini. Dengan itu, kaedah kuliah juga dilaksanakan secara dalam talian,” katanya.

Berdasarkan SOP PKPD, semua individu dikehendaki berada di kediaman masing-masing sepanjang masa dan hanya seorang wakil dibenarkan keluar untuk membeli makanan atau barangan keperluan. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *