PKP Di Lahad Datu Dilanjutkan Hingga 8 Mei

PUTRAJAYA: Perintah kawalan pergerakan (PKP) di Lahad Datu, Sabah yang sepatutnya tamat esok, akan dilanjutkan hingga 8 Mei ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, terdapat peningkatan kes yang signifikan pada minggu epid ke-15, iaitu 128 kes.

“Ini merupakan peningkatan sebanyak 175.3% berbanding minggu epid ke-14,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata, taburan kes berasingan itu meliputi beberapa mukim seperti Segama, Bandar, Silabukan dan kawasan Felda

Sementara itu, Ismail berkata, perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Sekolah Menengah Sains Banting di Kuala Langat, Selangor mulai esok hingga 7 Mei ini.

Katanya, 71 pelajarnya disahkan positif Covid-19 dan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan masih berlaku penularan di lokaliti itu dengan kadar kebolehjangkitan tinggi.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM membuat
pengesanan awal kes serta membendung penularan dalam
kalangan pelajar dan kakitangan sekolah tersebut.”

Lanjut PKPD

Ismail berkata, PKPD di Kampung Muhibbah Raya di Tawau, Sabah yang sepatutnya berakhir esok, dilanjutkan sehingga 8 Mei ini.

Tamat PKPD

Ismail berkata, PKPD di Kampung Bukit Belacon, Segama di Lahad Datu, Sabah akan tamat esok seperti dijadualkan.

Katanya, 11 kes positif direkodkan hasil saringan ke atas 148 orang dan baki kes aktif di lokaliti itu menunjukkan trend penurunan serta kluster adalah terkawal.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, 159 individu ditahan semalam kerana melanggar SOP PKP, dengan 140 daripadanya dikompaun dan 19 lagi direman.

Ia merangkumi kesalahan tidak mendaftar masuk premis (62), tidak memakai pelitup muka (39), tiada penjarakan fizikal (10) dan lain-lain (48).

Katanya, 56 pendatang asing tanpa izin ditahan dan 10
kenderaan darat dirampas dalam Operasi Benteng semalam.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *