Pekerja Kilang Sawit Cetus Kluster Baharu Di Kinabatangan

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Seorang pekerja kilang sawit yang dijangkiti COVID-19 telah mencetuskan satu lagi kluster baharu di Sabah hari ini iaitu Kluster Kota Sawit di Kinabatangan.

Jurucakap COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata kluster baharu terbabit sudah menjangkiti 14 kes yang mana kes indeks adalah pekerja kilang sawit yang dikesan positif COVID-19 melalui saringan bergejala pada 13 April lalu di sebuah pusat perubatan.

“Susulan kes terbabit, saringan kontak rapat mendapati 13 lagi kes positif termasuk seorang tanggungan pekerja. Berdasarkan rekod pergerakan, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika melawat keluarganya yang tinggal di zon merah iaitu Lahad Datu.

“Hingga hari ini, kilang terbabit ditutup manakala pekerja pula sudah dikuarantin. Aktiviti persampelan COVID-19 dan disinfeksi masih diteruskan untuk menilai sebarang jangkitan dan risiko kemungkinan jangkitan menular ke ladang berhampiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata jumlah kes harian hari ini sebanyak 160 kes, menjadikan jumlah kumulatif 57,324 kes.

“Tiga kes kematian direkodkan hari ini iaitu dua kes di Tawau dan satu di Putatan. Jumlah pesakit COVID-19 yang sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital seramai 159 menjadikan jumlah kumulatif 55,590 orang.

“Seramai 994 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 317 orang di hospital, 662 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan 15 orang lagi di Pusat Tahanan Sementara (PTS),” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *