COVID-19: 2,341 Kes Positif Baharu & 3 Kematian Hari Ini

KUALA LUMPUR, 20 April : Sebanyak 2,341 kes baharu COVID-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam lepas, meningkat berbanding 2,078 kes semalam menjadikan jumlah kumulatif jangkitan virus setakat ini 379,473 kes. 

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam Twitter rasmi memaklumkan Sarawak terus mencatatkan kes baharu tertinggi iaitu 600 kes, diikuti Selangor (539), Kelantan (429), Kuala Lumpur (344) dan Johor (102).

Sementara itu, Pulau Pinang merekodkan 92 kes, Sabah (82), Kedah (44), Perak (34), Melaka (19), masing-masing 17 kes di Negeri Sembilan dan Pahang, manakala Putrajaya dan Perlis masing-masing tiga kes dan Labuan (1). 

Sementara itu, menerusi kenyataan rasmi mengenai perkembangan COVID-19 hari ini, Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan itu, tujuh adalah kes import manakala 2,334 kes melibatkan penularan dalam negara.

“Kes import melibatkan dua warganegara dan lima bukan warga, manakala kes tempatan membabitkan 2,209 warganegara dan 125 bukan warganegara,” katanya dengan menambah 1,592 kes sembuh dicatatkan, manakala 249 pesakit memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 95 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan. 

Beliau berkata sebanyak tiga kematian dilaporkan melibatkan dua warga tempatan dan seorang bukan warga yang membawa kepada jumlah kumulatif sebanyak 1,389 kematian manakala kes aktif kini 21,268. 

Mengenai kluster baharu, beliau berkata tujuh kluster dikesan hari ini dengan empat melibatkan komuniti, dua kluster pendidikan termasuk satu kluster sekolah atau institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta satu membabitkan penularan di tempat kerja.

Kluster baharu komuniti ialah Kampung Tengah Betong (Sarawak), Sungai Rian (Sarawak), Jalan Meranti (Selangor), Taman Dato Senu (Kuala Lumpur) dan kluster pendidikan ialah Jalan Pasir Mas-Pohon Tanjung (Kelantan) dan Jalan Padang Lallang (Pulau Pinang) manakala kluster tempat kerja ialah Hala Kampung Jawa (Pulau Pinang).

“Perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kluster kini sebanyak 1,541 dengan 340 kluster aktif, dan sebanyak tujuh kluster diisytihar tamat hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kluster yang tamat ialah 1,201,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata kluster diisytihar tamat itu ialah Kluster Jalan Industri Sofa, Kluster Andromeda, Kluster Nanga Bulo, Kluster Tapak Bina Jalan Salak, Kluster Industri Sungai Gadut, Kluster Jalan Changkat Jong dan Kluster Jalan Awang. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

470