ESSCom Tahan 8 Pendatang Haram Indonesia Di Tawau

Antara PATI yang ditahan.

TAWAU, 20 April : Lapan pendatang haram warga Indonesia ditahan pasukan keselamatan  Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4 Jalan Apas di sini pada 7.55 malam tadi.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Ahmad Fuad Othman berkata turut ditahan dua lelaki warga tempatan dipercayai sedang menunggu pendatang haram tersebut untuk dibawa ke sebuah lokasi yang masih dalam siasatan.

“Pasukan keselamatan mengesan pergerakan sebuah bot dari arah perairan Indonesia dalam keadaan mencurigakan menuju ke perairan Kampung Kurnia Jaya.

Antara PATI yang ditahan.

“Susulan itu sepasukan anggota keselamatan dari Pasukan Gerakan Am serta Angkatan Tentera Malaysia dalam tugasan Op Cegah Pati diatur gerak ke sebuah rumah atas air untuk pemeriksaan yang menemukan lapan pendatang haram di ruang tamu rumah itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pendatang haram yang ditahan itu terdiri daripada enam lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak lelaki berusia antara 10 hingga 70 tahun, manakala dua lelaki tempatan itu masing-masing berusia 26 dan 28 tahun.

Ahmad Fuad berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 55(E) Akta Imigresen 1959/63. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2455