Dua Kluster Baharu Di Sabah Libatkan Tempat Kerja – Masidi

KOTA KINABALU: Dua kluster dikesan di Sabah melibatkan jangkitan di tempat kerja.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata kluster-kluster itu dikenali sebagai Kluster Bukit Quoin dan Kluster Jalan Damai, di daerah Tawau.

“Kes indeks merupakan Pembantu Pertanian di Stesen Penyelidikan Pertanian Bukit Quoin yang disahkan positif COVID-19 hasil saringan bergejala pada 1 April.

Masidi Manjun

“Saringan tempat kerja dan kontak rapat setakat ini mengesan 11 kes termasuk tiga pekerja di stesen berkenaan,” katanya.

Kluster Bukit Quoin telah mencatat tujuh kes baharu menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 11 kes.

Manakala, bagi Kluster Jalan Damai Tawau yang melibatkan Mukim Sri Tanjung merekodkan tiga kes baharu menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 14 kes.

“Kes indeks merupakan juruaudit di syarikat percukaian yang dikesan positif COVID-19 melalui saringan bergejala pada 11 April.

“Jangkitan kemudiannya menular di sebuah premis agensi Kerajaan Pusat di Tawau melalui adik kepada kes indeks yang telah disahkan positif pada 14 April.

“Saringan kontak rapat mendapati 12 lagi kes positif termasuk empat kes rakan sekerja di agensi terbabit,” katanya.

Aktiviti pengesanan kontak rapat dan punca jangkitan kedua-dua kluster ini masih dilaksanakan.

Masidi yang juga jurucakap COVID-19 bagi negeri ini berkata Sabah pada Sabtu mencatatkan pertambahan 163 kes, manakala daerah Kota Kinabalu dan Tawau masing-masing mencatatkan satu kes kematian.

Tiga daerah yang mencatatkan pertambahan kes tertinggi ialah Tawau (95 kes), Lahad Datu (25 kes) dan diikuti Sandakan (13 kes).

Daripada 163 kes positif COVID-19, sebanyak 66 kes adalah berpunca dari saringan kontak rapat, 18 kes saringan bergejala, 70 kes dari kluster baharu dan sedia ada serta sembilan kes dari lain-lain kategori. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *