Bekas Legenda Bola Sepak Sabah Bingung Dasar Asing Sukan Ikut Kaum

Bekas pemain bola sepak kebangsaan James Wong dan Matlan Marjan berkata, sukan seharusnya bersifat universal dan boleh disertai oleh mana-mana individu daripada semua warna kulit, bangsa, kepercayaan dan agama.

KOTA KINABALU: Dasar pengasingan sukan mengikut kaum oleh sebuah sekolah menengah di Johor yang menimbulkan kontroversi baru-baru ini membingungkan dua legenda bola sepak Sabah.

Dasar yang mengkhaskan sesetengah sukan kepada pelajar daripada kaum tertentu bagaimanapun dibatalkan oleh timbalan menteri pendidikan, dan pengetua sekolah tersebut tampil mengakui kesalahannya dan meminta maaf.

James Wong, yang menjaringkan gol kemenangan bagi melayakkan Malaysia ke Sukan Olimpik 1980, berkata, beliau “kehilangan kata-kata” berkenaan dasar tersebut, manakala menurut bekas penyerang kebangsaan Matlan Marjan, sukan sepatutnya menyatukan masyarakat, bukan memecahbelahkan.

Kata Wong, sukan seharusnya bersifat universal, dan boleh disertai oleh mana-mana individu “dengan semua warna kulit, daripada setiap bangsa, kepercayaan dan agama”.

“Sukan adalah medium integrasi terbaik, jadi saya rasa ini sangat ‘lucu’ … tak pasti kenapa mereka buat begini,” kata beliau kepada FMT.

“Contohnya dalam bola sepak, adakah mereka mengatakan pelajar (daripada kaum selain yang ditetapkan) tak boleh bermain? Penyertaan semua akan memberi kelebihan buat sesuatu sukan, kerana pemain yang terbaik boleh dipilih. Tetapi, saya tak dapat bayangkan ini berlaku (di negara kita sekarang),” kata beliau.

Matlan, yang mula bermain bola sepak di SRJK Chung Hwa di Kota Belud, berkata, sukan menjadi lebih “berwarna-warni” dengan penyertaan setiap lapisan masyarakat.

“Sukan menyatukan kita seperti sebuah keluarga, terutamanya ketika bermain dalam pasukan.

“Sebagai contoh, bola sepak di Sabah disertai oleh pelbagai bangsa,” kata beliau.

“Ada pemain daripada komuniti Bajau, Kadazan, Dusun, Cina, Sino-Bumiputera, dan lain-lain. Kami dapat rasakan ikatan kekeluargaan itu.

“Ini lebih menonjol apabila semua orang meraikan pelbagai jenis perayaan di Sabah seperti Kaamatan, Hari Raya, antara lainnya.”

“Jangan asingkan sukan ikut kaum kerana minat pelajar (sesuatu kaum) tidak hanya khusus untuk sukan tertentu.”

Wong berharap pihak berkuasa dapat mencontohi Sabah dalam soal integrasi rakyat.

“Di Sabah, semua orang bergaul mesra sesama sendiri, jadi bila kami bermain, atau menyokong mana-mana sukan, tak kisah siapa diri anda.

“Apa yang penting, anda tunjukkan solidariti terhadap negeri dan negara,” kata beliau. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *