‘Bantulah Anak Saya’

Siti Nurfatihah disamping ayahnya pada program tabung kemanusiaan Media Prima-NSTP Hospital Gleneagles. – Gambar Hazreen Mohamad

KUALA LUMPUR: Kesempitan hidup dan kekangan kewangan menyebabkan bapa tunggal, Rajalie Onun, 36, terpaksa menangguhkan pembedahan jantung anaknya, Siti Nurfatihah Rajalie, 11, lebih 10 tahun.

Rajalie yang juga bapa tunggal berkata, anak keduanya itu menghidap penyakit jantung berlubang atau kecacatan septum ventrikel (VSD) sejak usianya tiga bulan dan memerlukan kira-kira RM60,000 untuk pembedahan di Hospital Gleneagles, di sini.

“Fatihan menghidap penyakit jantung ini sejak usianya tiga bulan dan pada usianya lapan tahun, doktor sarankan pembedahan jantung Nurfatihah perlu disegerakan.

“Namun, kekangan kewangan ditambah lagi kerja yang tak menentu ketika itu menyebabkan saya terpaksa menangguhkannya,” katanya ketika dihubungi.

Dia yang menetap di Sandakan, Sabah itu berkata, masalah pengangkutan dan jadual kerja yang padat juga menyukarkannya mengikut jadual pemeriksaan kesihatan di hospital itu.

“Disebabkan penyakitnya, Nurfatihah cepat penat dan semua aktiviti sekolah yang membabitkan fizikal tidak dapat diikutinya.

“Aktivitinya juga banyak di rumah, baca buku saja, tidak dapat bermain di luar bersama rakan kerana keadaan kesihatannya,” katanya.

Bercerita lanjut, selepas penceraian, dia menjaga dan menanggung semua perbelanjaan keempat-empat anaknya berusia tujuh, 10 , 11 dan 13 tahun.

“Ibu saya banyak membantu menjaga anak saya jika saya pergi kerja.

“Bekas isteri saya tidak dapat membantu dari segi kewangan kerana dia juga orang susah,” katanya yang kini tidak lagi berhubung dengan bekas isterinya.

Rajalie berkata, dia bersyukur anaknya tidak mempunyai masalah dari segi tumbesaran cuma pergaulannya bersama rakan sebaya saja yang terbatas.

“Dengan rasa rendah hati, saya minta bantuan kepada semua.

“Saya amat berharap ada pihak yang beri bantuan kerana pembedahan jantung itu perlu disegerakan,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan menerusi akaun Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP (Maybank 514105323170) atau melalui cek disertai nama pesakit (Siti Nurfatihah Rajalie).

Cek boleh dihantar ke Jabatan Komunikasi Korporat Media Prima, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur atau hubungi talian 03-24278678. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *